Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Gombak: Empat penjenayah dipercayai bersenjata api merompak kedai barangan kemas di Jalan Maxwell, Rawang dan melarikan lima dulang barangan kemas dianggarkan bernilai RM450,000 kira-kira 2 petang tadi.

Menurut saksi kejadian, empat suspek lelaki dikatakan datang ke premis itu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima sebelum tiga daripada mereka masuk ke dalam premis dan mengacukan pistol kepada empat pekerja kedai barangan kemas terbabit.

Saksi memberitahu, tiga suspek turut memakai topeng ski dan mengarahkan semua pekerja memasukkan barang kemas ke dalam karung yang di bawa kumpulan suspek.

"Mereka hanya mengambil masa tiga minit. Semasa kejadian tiada pelanggan dan keadaan jalan raya turut lengang kerana umat Islam menunaikan solat jumaat," katanya.

Difahamkan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik premis berkenaan yang kini dalam siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 5:47 PM