Kelantan tangguh PKPB hingga Khamis

Hazira Ahmad Zaidi
JALAN Wakaf-Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

KERAJAAN Kelantan akan memperhalusi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menyesuaikan penggunaannya sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan perintah itu di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (KHAS) Negeri Kelantan, Khamis ini.

"Sehingga keputusan dibuat dalam jawatankuasa itu, semua ketetapan yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

"Kemaslahatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, beliau bersyukur kerana ketika ini, Kelantan masih kekal zon hijau dan sudah tiada lagi rakyat yang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan virus Covid-19.

"Bagaimanapun, segala tindakan perlu berhati-hati supaya keadaan ini dikekalkan bagi menjamin kemaslahatan rakyat," katanya yang turut menzahirkan sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PKPB, Jumaat lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 4:09 PM