PENDUDUK mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan di tapak warisan UNESCO di Sanaa, semalam, selepas ia dibedil pesawat pakatan Arab.
AFP

Sanaa: Serangan udara pasukan tentera diketuai Arab Saudi membedil bandar lama Sanaa menyebabkan lima terbunuh selain memusnahkan tiga rumah di lokasi tapak warisan UNESCO.

Serangan udara di kawasan bersejarah itu dikecam UNESCO yang menganggap lokasi berkenaan ‘antara permata paling lama’ dalam kebudayaan Islam.

Ia turut menggesa pihak yang bersengketa menghormati warisan Yaman.

Penduduk berkata, serangan sebelum Subuh itu yang pertama membedil bandar lama Sanaa sejak kempen udara dilancarkan terhadap pemberontak Houthi, lewat Mac lalu.

Peluru berpandu mengenai kejiranan Qassimi yang memiliki ribuan rumah dibina sebelum kurun ke-11.

Walaupun tidak meletup, ia memusnahkan tiga rumah tiga tingkat dan mengakibatkan lima penghuninya terbunuh, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak.

Punca kawasan itu menjadi sasaran serangan tidak diketahui.

Bagaimanapun, ada penduduk mendakwa rumah itu dibedil kerana dihuni pemberontak Houthi.

Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova berkata, dia terkejut melihat gambar rumah dan taman sekitar kawasan itu musnah.

“Nilai sejarah dan kenangan yang terdapat di lokasi berkenaan kini rosak atau musnah sepenuhnya,” katanya.

Bandar lama Sanaa banyak kerosakan akibat serangan udara yang menyasarkan kawasan berhampiran, termasuk kementerian pertahanan.

Bandar lama itu terletak di kawasan lembah dan dihuni lebih 2,500 orang. Ia pernah menjadi antara tempat penyebaran Islam terkemuka dan mempunyai lebih 100 masjid, 14 tempat mandi awam dan lebih 6,000 rumah yang dibina sebelum kurun ke-11.

Ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:10 AM