AFP

Watford, England: Penjaga gol England, Joe Hart menegaskan dia dan pasukannya tidak kisah dengan kritikan kualiti permainan mereka sebaliknya menumpukan untuk menang.

England beraksi hambar ketika seri 0-0 dengan Republik Ireland pada perlawanan persahabatan hujung minggu lalu dan digambarkan bekas pemain tengah England, Paul Scholes sebagai ‘malam yang membazir’.

Namun dengan pasukan Roy Hodgson menggunakan perlawanan itu sebagai pemanas badan sebelum bertemu Slovenia di Ljubljana pada aksi kelayakan Euro 2016 awal pagi Isnin ini, Hart berasakan ia berguna.

“Kami hanya mahu menang perlawanan,” kata penjaga gol Manchester City itu.

“Kami menentang pasukan lawan yang mempunyai tanggungjawab sama terhadap negara mereka. Persembahan ideal pastinya satu persembahan sempurna dan disukai setiap orang, tapi kami perlu melaksanakan tugas.

“Ia bukannya tugas mudah, tapi kami sukakannya dan mahu menang.”

Penyiar Britain, ITV memohon maaf menerusi Twitter kepada penonton kerana menyiarkan perlawanan itu sekali gus mencetus komen pedas Hart.

“Setiap orang kini pelakon komedi,” kata pemain berusia 28 tahun itu di hotel penginapan England di Watford, utara London.

“Anda perlu menerimanya dalam bola sepak. Orang berasakan mereka boleh mengkritik dan melakukan apa saja terhadap anda kerana mereka tidak akan berdepan dengan anda, tapi saya sudah biasa dengannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:15 AM