AFP

Harrison, AS: Pemain Korea Selatan, Jenny Shin membenam lima birdie dan satu eagle bagi melakar tujuh bawah par 66 semalam, sekali gus mendahului dengan satu pukulan selepas pusingan pertama Kejohanan PGA Wanita, kejuaraan utama kedua bagi musim LPGA.

Pemain Kanada berusia 17 tahun, Brooke Henderson berseorangan di tangga kedua dengan 67, bogey pada lubang terakhirnya, lubang kesembilan par-lima hanya satu-satunya kecacatan dalam kadnya yang termasuk lima birdie dan satu eagle.

Pemain Australia, Karrie Webb, Moriya Jutanugarn dari Thailand dan pemain England, Charley Hull berkongsi tangga ketiga dengan 68.

Seperti Brooke, Karrie, yang lebih sekali ganda usianya pada umur 40 tahun, turut memulakan aksi di lubang ke-10 di lapangan par-73 Westchester Country Club dan seketika melakukan enam bawah par sebelum bogey pada lubang ketujuh par-empat.

Jenny, catatan terbaik jelajah LPGA adalah berkongsi tangga kedua pada Kejohanan Juara-Juara Wanita HSBC 2012, mencatat pusingan terbaik dalam kejuaraan utama dengan perbezaan dua pukulan.

“Saya bermain dengan OK dan saya berasa kemenangan pertama semakin hampir,” kata Jenny. “Saya terfikir ini kejohanan utama dan saya mahu bermain dengan bagus.”

Seperti selalu dilakukannya, Jenny tidak langsung menoleh ke papan markah pendahulu sepanjang pusingannya.

“Saya memburu kedudukan pendahulu sepanjang hari dan saya terkejut Webby enam bawah par pada satu ketika, saya fikir bagaimana dia boleh melakukan enam bawah par,” jelas Jenny.

“Saya terfikir mungkin boleh meraih satu lagi di lubang ke-18 dan saya melakukannya.”

Birdie pada lubang terakhir menyusuli eagle pada lubang ke-15 par-lima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:17 AM