GANDINGAN Amelia-Fie Cho tewas kepada Thailand.

Skuad badminton wanita negara gagal mengulangi pencapaian 2009 apabila sekadar meraih perak selepas tewas 0-3 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Tertutup Singapura.

Perseorangan pertama Lim Yin Fun tumpas kepada kepada bekas juara dunia Ratchanok Intanon 13-21, 14-21, manakala pasangan beregu Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho kalah 20-22, 18-21 di tangan Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanchai.

Ho Yen Mei pula tumbang kepada Busanan Ongbumrungpan 8-21, 15-21 seterusnya meranapkan peluang Malaysia untuk cuba bangkit dalam saingan beregu kedua dan perseorangan ketiga.

Gangsa diraih Indonesia serta tuan rumah Singapura yang tumpas dalam saingan separuh akhir semalam.

Sementara itu, Amelia berkata, mereka tidak tertekan cuma terlalu gopoh untuk mengutip mata sehingga memakan diri sebelum tumpas kepada Puttita-Sapsiree.

“Saya banyak melakukan kesilapan mudah, kalau menang set pertama sudah tentu kami boleh memenangi perlawanan berkenaan. Permainan saya pun kurang bagus hari ini hanya 70 peratus saja dan tidak cukup untuk memenangi perlawanan. Fokus saya juga cepat lari,” kata pemain kelahiran Sabah itu.

Sementara itu, jurulatih beregu campuran negara Chin Eei Hui berkata, pemain negara sudah memberikan aksi terbaik semalam.

“Pada 2009 di Laos kita memang mempunyai skuad mantap dengan kehadiran Datin Wong Mew Choo dalam acara perseorangan dan saya bersama Wong Pei Tty. Ketika itu kita sudah mempunyai dua mata dalam tangan dan hanya perlu mencuri satu mata melalui beregu kedua, Woon Khe Wei-Ng Hui Lin.

“Kita harap pada 2017 mampu meraih emas, tetapi Thailand tetap di anggap pasukan terkuat ketika itu kerana ketiga-tiga pemain perseorangan mereka masih lagi muda. Saya juga lihat aksi perseorangan wanita kita lebih baik berbanding temasya sebelum ini,” kata Eei Hui.

Selepas ini, pemain wanita akan beraksi dalam acara individu, termasuk penyandang pingat emas acara beregu wanita, Vivian Hoo-Khe Wei.

Tumpuan juga terarah kepada pemain paling muda dalam skuad iaitu Goh Jin Wei, 15 tahun yang akan beraksi dalam acara perseorangan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:22 AM