X

Hanya gangsa menjadi pengubat duka buat atlet negara Ju Pha Som Net dalam saingan kriterium wanita, semalam.

Semuanya kerana dia hampir terjatuh ketika cuba mengelak lawan di depan dan kesempatan itu digunakan pelumba lain untuk memintasnya.

Saingan 10 pusingan sejauh 26.5 kilometer itu dimenangi pelumba Thailand Jutatip Maneephan manakala atlet Vietnam Nguyen Thi Tat membawa pulang perak.

Ju Pha yang beraksi dalam acara lebuh raya buat kali pertama di Sukan SEA berkata, dia sebenarnya boleh memberikan cabaran lebih baik buat Jutatip dalam penamat beramai-ramai itu.

“Saya hampir terjatuh ketika berasak-asak ke garisan penamat kerana mengelak pelumba lain.

“Ketika sampai di pecutan terakhir laluan saya pula sudah tertutup untuk memintasnya,” kata Ju Pha.

Pelumba berasal dari Perlis itu menjelaskan dia kembali ke acara lebuh raya hanya untuk Sukan SEA selepas kali terakhir beraksi dalam acara sama pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis tahun lalu.

Ju Pha berkata, sasarannya kini ialah untuk layak ke temasya Olimpik Rio 2016 dan untuk itu, dia akan menyertai beberapa kejohanan berbasikal Piala Dunia dan mempunyai masa hingga Februari untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:22 AM