Mangsa yang rentung. FOTO Rozainah Abdul Rahim
Oleh Rozainah Abdul Rahim


Port Dickson: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kereta berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Pasir Panjang, Teluk Kemang di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Pegawai Bomba Kanan II Jamil Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran membabitkan sebuah kereta pada 3.50 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dengan sembilan anggota bomba ke lokasi dan mengambil masa 15 minit untuk memadamkan kebakaran.

Katanya, sebaik api dipadamkan sepenuhnya, pihaknya menemui seorang lelaki rentung di tempat duduk pemandu dan segera menghubungi polis untuk siasatan lanjut.

Sehingga kini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayatnya sudah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 10:33 AM