Oleh Ustaz Haslin Baharin

Dulu ibu saya pernah bekerja dengan peniaga Cina dan secara tidak sengaja mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk hidangan makanan tidak halal. Adakah ibu saya berdosa sekiranya tidak pernah menyamak najis itu?

BALQIS, Hulu Klang, Selangor

Secara umum bekas makanan yang digunakan oleh orang bukan Islam untuk memakan makanan tidak halal boleh digunakan sekiranya tiada bekas lain.

Ini sesuai dengan hadis diriwayat Abu Tsa’labah bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasullul­lah SAW: “Sesungguhnya kami berjiran dengan ahli kitab, sedangkan mereka memasak (daging babi) di bekas-bekas mereka dan meminum di gelas-gelas mereka?

“Jawab Rasulullah SAW: “Jika kamu mempunyai (bekas dan gelas) yang selainnya, maka makanlah dan minumlah dengannya.

“Jika kamu tidak mendapatkan yang selainnya, maka cucilah dengan air, lalu makanlah dan minumlah (dengan bekas mereka).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sekiranya jelas masih berbekas makanan atau minuman yang tidak halal atau binatang yang haram seperti arak dan babi maka hendaklah dibasuh mengikut kaedah yang sedia maklum.

Cuci hingga hilang bau, warna dan rasa, jika najis itu sederhana (mutawassitah) dan disamak jika najis berat (mughallazah). Sekira tiada tanda-tanda barang berkenaan, maka cukuplah membilasnya dengan air.

Oleh itu, tidak berdosa dan dimaafkan sekiranya tidak pernah menyamak selagi najis itu tidak jelas berdasarkan hadis.

Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 1:12 AM