Oleh Amirul Haswendy Ashari


Peluang menyanyikan lagu raya ibarat bulan jatuh ke riba buat penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty. Sepanjang kerjaya seninya, penyanyi yang mula dikenali melalui lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini belum pernah menyanyikan lagu raya sendiri.

Itulah sebabnya apabila ditawarkan menyanyikan lagu Syukur Selalu, ciptaan Hanisah Hassan dan Zuliana Eusoff, Dayang Nurfaizah anggap rezeki yang sungguh berharga buatnya. Apatah lagi berganding pula dengan Black Hanifah.

Katanya, selama ini kalau adapun tawaran, menyanyikan semula lagu raya yang pernah dipopularkan orang lain.

“Lagi ini antara projek besar untuk rangkaian Media Prima dan tentu ia mendapat sambutan.

“Apabila bergabung dengan Black, pada awalnya saya agak terkejut kerana umum tahu karakter suara kami berbeza tapi apabila mula digabungkan, ia menjadi kombinasi sesuai,” katanya.

Ditemui ketika rakaman lagu itu baru-baru ini, Dayang akui pada awalnya agak kurang selesa menyanyian lagu Syukur Selalu kerana rentak popnya agak rancak dan perlu menggambarkan kegembiraan itu dalam nyanyian.

Apatah lagi ramai tahu Dayang sangat sinonim dengan lagu balada atau RnB perlahan serta mendayu-dayu. Namun, sebaik saja melontarkan vokalnya untuk lagu itu, keceriaan mula terpancar di wajah dan suara nyanyian Dayang, seiring dengan kerancakan lagu itu.

Perasaan hampir sama dikongsi Black apabila diberitahu tawaran menyanyikan lagu Syukur Selalu sebagai lagu tema raya terbaru Media Prima Berhad.

“Ini bukan kali pertama saya menyanyikan lagu kempen untuk stesen televisyen tetapi ia antara projek besar dan saya anggap ia rezeki anak.

“Pada masa sama, saya juga melihat ia sebagai platform untuk saya melangkah lebih jauh lagi pada masa depan. Tidak sabar rasanya untuk mendengar lagu ini keluar di radio dan TV,” katanya.

Pun begitu, Black tetap berdebar tatkala menyanyikan lagu itu bersama Dayang kerana tahu penyanyi itu mempunyai vokal yang jauh lebih hebat.

Tambah pula mereka berasal dari dua genre dan ‘range’ suara yang jauh berbeza. Pun begitu, berduet dengan Dayang dianggap peluang keemasan, Black ketepikan debaran dugaan itu kerana antara impiannya ialah dapat bernyanyi bersama penyanyi wanita pujaan ramai itu.

Seperti mana Dayang, Black juga merasai perasaan sama apabila menerima lagu itu pada peringkat awal. Katanya, masa mula-mula dengar, dia rasa tidak berapa sesuai dengan dirinya tapi selepas beberapa ketika mendengar, ia seperti sudah melekat dalam hati.

“Lagu Syukur Selalu pun bukan saja boleh dimainkan ketika raya saja, malah bila-bila masa kerana ia berkisar mengenai meluahkan rasa syukur kita pada Tuhan biarpun diberi ujian atau rezeki setiap masa,” katanya.

Lagu Syukur Selalu ciptaan Hani dan Zue ini dilancarkan sedikit demi sedikit sejak 7 Jun lalu. Malah Media Prima Berhad melalui TV3 turut menghasilkan klip video memaparkan perjalanan balik kampung Black dan Dayang sempena Aidilfitri kelak.

Sementara itu, Hanisah, 21, menganggap setiap peluang itu adalah rezeki yang wajib disyukuri selalu, begitulah rezekinya apabila Syukur Selalu diterima untuk projek Media Prima.

Pemenang Projek EP Hot FM itu diberi peluang menghasilkan lagu Syukur Selalu yang menjadi lagu raya khas tahun ini. Sebelum ini, lagu khas raya Media Prima menggunakan khidmat kumpulan Bunkface melalui Anugerah Syawal yang kini menjadi siulan ramai sejak tahun lalu.

Katanya, ia ibarat impian menjadi kenyataan kerana dapat berkolaborasi dengan dua penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam industri.

“Ini lagu pertama yang kami cipta sepenuhnya untuk satu projek besar. Sebelum ini, kami pernah menghasilkan single bersama Diandra berjudul Kota Raya.

“Kami mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan lagu Syukur Selalu dan masa sama dipantau Media Prima agar ia boleh disesuaikan dengan semua keadaan,” katanya.

Hani yang baru mengeluarkan album mengandungi tujuh lagu bersama Zue pada bulan lalu turut bangga kerana penyanyi kegemarannya, Dayang Nurfaizah yang menyanyikannya.

Malah ketika sesi rakaman lagu itu di studio, dua sahabat baik itu dilihat begitu girang melihat sendiri lagu mereka direalisasikan Dayang dan Black.

Hani dan Zue akui, biarpun kedua-dua penyanyi itu datang dari dua genre berbeza, terutama dari segi susunan vokal dan jenis muzik, mereka berjaya melakukannya.

Syukur Selalu juga menjadi tema kempen Ramadan & Raya rangkaian televisyen dan juga online portal Tonton sempena kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Tahun ini, Elfira Loy, Fadlan Hazim, Kaka Azraff dan Fizo Omar dilantik sebagai duta Syukur Selalu TV9 manakala barisan duta TV3 pula ialah Fara Fauzana, Ahmad Fedtri Yahya, Zara Zya, Aeril Zafrel, Izreen Azminda dan Shukri Yahaya.

Wajah-wajah mereka bukan sahaja akan menghiasi program di TV3 dan TV9, malah akan turun padang dalam menjayakan kempen Syukur Selalu sepanjang Ramadan nanti.

Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung Bazar Syukur Selalu di Dataran Tok Gajah, Temerloh (Pahang) pada 27 Jun dan Plaza Angsana, Johor Bahru (Johor) pada 4 Julai.

Skuad Syukur Selalu akan mengunjungi lokasi-lokasi Bazar Ramadan di Lembah Klang bermula 19 Jun ini. Mereka akan menaiki Vespa dan mengagihkan set iftar secara percuma kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:03 AM