Oleh Amirul Haswendy Ashari


Melihat hubungan akrab antara pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong, ia ibarat cinta platonik yang wujud tiba-tiba.

Kisah mereka sering mendapat perhatian sejak foto mesra bersama mula bermain di laman sesawang. Emma pernah memuat naik foto mereka bersama di laman sosial Instagram miliknya.

Kedua-duanya kembali solo selepas hubungan cinta yang terjalin putus baru-baru ini. Hubungan cinta Kamal selama Intan Ladyana selama enam tahun putus tahun lalu manakala Emma yang pernah bercinta dengan Zizan Razak, hanya sempat bertahan dua tahun.

Ketika Kamal dan Emma hadir pada majlis pelancaran drama terbaru lakonan mereka, Jodoh Sebelah Pintu untuk siaran Hypp TV Rabu lalu, Kamal dan Emma menolak pelawaan media untuk bergambar bersama. Alasan mereka, terlalu awal untuk mengatakan hubungan sedang terjalin sebagai cinta.

Kata Kamal, untuk bergambar berdua belum masanya lagi kecuali atas dasar kerja. Kamal akui ramai rakan media meminta mereka bergambar bersama, tapi seboleh-bolehnya mahu mengelak dari terus dihina.

“Kami bukan nak sembunyikan apa-apa tapi setakat ini Emma wanita paling rapat dengan saya buat masa ini. Lagipun kami sama-sama berlakon, nak kata bercinta masih terlalu awal,” katanya.

Kamal juga enggan dikaitkan terlalu cepat mencari pengganti. Malah katanya, mereka berdua masih dalam proses ‘sakit’ dek putus cinta dan faham situasi yang melanda diri masing-masing.

“Sebab itu, tidak logik sekiranya kami yang sedang ‘sakit’ terus mengejar untuk bercinta,” katanya.

Mengenai diri mereka dilihat lebih banyak mendiamkan diri saat hubungan mesra menjadi persoalan ramai pihak, Kamal akui itu jalan terbaik yang perlu diambil.

“Sebelum ini apabila kami ‘post’ satu gambar, orang maki dan panggil saya perampas serta macam-macam lagi. Jadi lebih baik diam.

“Orang nampak saya sebagai perampas walhal saya kenal Emma selepas dia putus hubungan dengan teman lelakinya. Tidak ramai tahu apa yang berlaku dan kami tidak mahu buka aib orang lain. Jadi, tahan sajalah telinga!” katanya.

Pelakon kelahiran Pahang itu secara jelas mengakui tidak wujud isu rampas merampas, tetapi lebih kepada memberi sokongan antara satu sama lain.

Katanya, kerana mereka sedang menjalani penggambaran drama Jodoh Sebelah Pintu bersama, mahu atau tidak, peminat akan terus melihat mereka berdua.

“Saya katakan pada Emma, awak baru dua tahun bercinta, sakitnya tidak sama dengan saya yang sudah enam tahun bercinta. Dari situ masing-masing boleh faham dan cuba menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Emma yang pernah berganding kali pertama dengan Kamal melalui drama Syurga Tanpa Cinta sebelum ini, tanpa berselindung mengakui Kamal kawan lelaki paling rapatnya setakat ini.

Katanya, biarpun rapat sebagai kawan, andai ditakdirkan Allah mempunyai jodoh yang kuat, dia terima dengan hati terbuka.

“Awal-awal lagi saya cakap pada Kamal, kita kawan dulu! Tapi kalau ada jodoh, adalah. Saya pun tidak kisah kalau orang luar terus mengaitkan kami bersama selepas ini.

“Pada masa ini, nak jaga hati masing-masing terlebih dulu sebelum menjaga hati orang lain. Apabila orang kata saya kantoi sebab bercinta dengan Kamal, apa yang kantoinya?

“Bukan saya keluar secara sorok-sorok pakai purdah sambil merangkak sebab tidak mahu orang tahu, sebaliknya kami keluar bebas sama ada secara berdua untuk makan atau beramai-ramai bermain boling,” katanya.

Biarpun pedas menjawab tuduhan segelintir masyarakat, Emma dengan tenang akui sebagai manusia biasa, dia juga memiliki perasaan untuk menangis dan me­ngalami putus cinta.

Emma kesal dia menjadi bahan perbualan sedangkan bekas teman lelakinya mahu berkahwin tidak pula menjadi isu.

“Biarlah orang nak terus bercakap pasal saya atau Kamal sebab yang penting saya terus dapat pahala dari kutukan orang. Selagi saya tidak tertekan dan jalani kehidupan seperti yang saya mahu.

“Kalau betul saya salah pada sesiapa, saya minta maaf. Orang luar kenal saya secara luaran saja tapi ada juga yang tanpa sebab kukuh membenci saya, biarlah!” katanya.

Mengenai keistimewaan Kamal di matanya, tanpa berselindung Emma akui Kamal menjadi diri sendiri. Baginya, Kamal seorang yang menggembirakan dan tidak suka menghukum orang lain. Dia mudah dibawa lepak ke mana-manapun, walau sekadar warung tepi jalan.

“Saya tidak suka orang yang tidak jujur dengan diri sendiri. Saya mahu lelaki yang boleh terima saya seadanya dan kalau boleh seorang yang menggembirakan dan tidak sekadar tahu mengarah untuk sedapkan hati sendiri.

“Ada sesetengah lelaki kalau ajak keluar, terus nak bawa ke tempat-tempat yang kononnya ‘high-class’ walhal saya bukan macam itu,” katanya.

Drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang mula bersiaran di saluran 116 Hypp TV pada 29 Julai depan.

Ia mengisahkan Mona lakonan Emma berjiran dengan Badrul atau Alang (Kamal) dan jatuh cinta. Ia turut diserikan dengan Lia Natalia, Erwin Dawson, Azhan Rani dan Datuk Eiz­lan Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:05 AM