PENYOKONG Perak cuba menyerbu ke kawasan penyokong Johor DT.
PENYOKONG Perak cuba menyerbu ke kawasan penyokong Johor DT.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) masing-masing menerima padah apabila didenda serta dikenakan hukuman bermain tanpa penonton oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

PBSNT terpaksa mengeluarkan sejumlah RM87,500 selepas didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’ dan Artikel 68 (c) & (e) Kod Tatatertib FAM’ berkenaan ‘Penganjuran perlawanan’ susulan aksi melampau penyokong Terengganu hingga mencetuskan rusuhan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei lalu.

Di samping itu, skuad Peteh terpaksa bermain dalam stadium kosong bagi satu aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 20 Jun ini.

Sementara itu, kantung poket PAFA bakal mengempis apabila turut menerima nasib sama berikutan tindakan liar penyokong Perak yang menyalakan suar ketika aksi Liga Super antara Perak dan Johor DT.

PAFA didenda sebanyak RM15,000 atas kesalahan melanggar ‘Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM’ serta RM75,000 dan terpaksa bermain tanpa penonton di gelanggang sendiri kerana melanggar ‘Artikel 68 (c) Kod Tatatertib FAM’.

Walaupun begitu, hukuman bermain tanpa penonton terhadap pasukan Bos Gaurus itu ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada tiadanya kesalahan yang sama berulang (merujuk kepada ‘Artikel 70 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM’).

Namun, jika kesalahan sama berulang pada aksi Liga Super membabitkan pasukan itu, maka hukuman bermain tanpa penonton itu akan dikuatkuasakan serta-merta pada perlawanan Perak menjadi tuan rumah.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib badan induk tempatan itu turut membicarakan 10 kesalahan lain yang membabitkan pemain dan persatuan di atas pelbagai kesalahan sepanjang aksi Liga Malaysia yang bermula Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:08 AM