X

Selepas temasya di Manila 2005, nama Malaysia kembali berada di persada tertinggi sepak takraw Asean apabila muncul juara acara regu di Pusat Ekspo Singapura semalam.

Gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (Ahmad Aizat Mohd Nor), Mohd Hanafiah Dolah dan Farhan Adam langsung tidak digugat regu Laos apabila menang 21-10, 21-16.

Trio yang pernah muncul juara kejohanan Siri Super Istaf di Melaka itu menamatkan kemarau emas acara regu Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi pada 2005 itu.

Begitupun, musuh tradisi Thailand tidak beraksi dalam acara regu kerana peraturan kali ini menyebut setiap negara hanya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam dua daripada tiga acara dipertandingkan.

Thailand memilih acara berpasukan dan double manakala Malaysia menyertai berpasukan serta regu.

Ketika ramai pengkritik menganggap emas yang dimenangi Malaysia itu tidak bermakna gara-gara ketiadaan Thailand, Farhan bangkit mempertahankan pingat yang dimenangi itu.

“Soal Thailand tidak masuk acara regu, itu masalah mereka. Bukan kami yang halang penyertaan mereka.

“Mungkin Thailand juga mahu mengelak daripada berjumpa kita kerana kita pernah kalahkan mereka di Siri Super ISTAF di Melaka sebelum ini.

“Bagi saya emas tetap emas. Tiada siapa boleh nafikan kemenangan kami ini. Paling penting kami sudah tamatkan kemarau emas 10 tahun dalam acara regu Sukan SEA,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita negara sekadar menyumbang gangsa dalam acara regu selepas tewas di tangan Myanmar 2-0 di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:08 AM
Kabinet Malaysia 2020