CHUA (kiri) bersama Ong bergambar di hadapan kapal MV MTT.
Oleh Azma Razana Johari

Butterworth: Kumpulan Syarikat Malaysian Trade & Transport (MTT) meluaskan perniagaan mereka dalam bidang perkapalan kargo apabila melancarkan kapal kontena dinamakan MTT Pulau Pinang yang pertama kali berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang (PPP).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kenny Ong Kuan Lee berkata, dengan pelancaran itu, syarikat kini memiliki enam kapal yang di sewa termasuk MTT Muara, MTT Tawau, MTT Kinabalu, MTT Kuching dan MTT Port Klang.

Operasi kapal itu dikendalikan menerusi anak syarikatnya, MTT Shipping Sdn Bhd yang turut menggunakan lapan kapal iaitu enam milik MTT manakala dua daripadanya disewa.

Menurutnya, MTT Pulau Pinang adalah kapal kontena buatan Jepun dengan berkapasiti 1,157 kontena kargo, sekali gus kapal kontena terbesar dalam laluan Barat-Malaysia Timur.

“Sehingga kini, syarikat kami mengendalikan lebih 10,000 kontena kargo setiap bulan dengan melakukan perjalanan tiga kali seminggu ke Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Selain itu, MTT juga melakukan perjalanan dua kali seminggu ke Tanjung Manis, Sibu, Bintulu, Miri di Sarawak dan Muara di Brunei serta seminggu sekali ke Labuan, Sandakan dan Tawau,” katanya pada Majlis Pelancaran MTT Pulau Pinang di Terminal Kargo Butterworth Utara, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya PPP, Tan Sri Dr Chua Soi Lek, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd Datuk Mohd Sidik Shaik Osman dan Pengarah Urusan MTT Shipping Sdn Bhd Ooi Lean Hin.

Sementara itu, Soi Lek berkata, pelancaran MTT Pulau Pinang diharap dapat membuka ruang lebih luas dalam bidang perdagangan antara PPP serta Sabah dan Sarawak.

“Diharap usaha ini akan merancakkan lagi kerjasama antara sektor industri di Pulau Pinang dan meningkatkan kemasukan kargo ke PPP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:41 AM