Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan projek Replikasi Model Pertanian Akuakultur Bersepadu yang menelan kos RM2.142 bilion kerana terdapat beberapa isu berbangkit seperti projek tidak menepati kemajuan sasaran ditetapkan selain tidak disiapkan mengikut masa ditetapkan.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, satu lagi isu membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah berkaitan dokumen kontrak bernilai lebih RM100 juta.

"Dokumen kontrak bernilai lebih RM100 juta berkenaan ditandatangani oleh KSU kementerian berkenaan.

"Sepatutnya, bagi dokumen kontrak yang melebihi RM100 juta, hanya menteri saja yang boleh menurunkan tandatangan," katanya pada sidang media selepas Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 siri ke-2 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Menurut Nur Jazlan, pada pembentangan berkenaan, pihaknya akan turut memanggil Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Ekonomi Utara (NCIA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selain Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkaitan isu berbangkit.

Katanya, berkaitan JPM, ia mengenai pengurusan penyelenggaraan bot serta kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Bot serta kapal APMM berkenaan digunakan untuk meronda perairan Sabah dan jumlah pengurusan penyelenggaraannya sebanyak RM231 juta.

"Kami dapati ada isu berkaitan pembayaran tidak mengikut tatacara dan PAC akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tatacara pengurusan kewangan mereka," katanya.

Berkaitan NCIA, Nur Jazlan berkata, pihak berkenaan terbabit dalam projek akuakultur dengan kos program berjumlah RM79.6 juta.

"PAC mendapati pengurusan di bawah NCIA kurang memuaskan malah lima syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam projek berkenaan dipilih secara rundingan terus. Ada juga isu lain yang perlu dijelaskan oleh NCIA," katanya.

Selain itu, Nur Jazlan berkata, berkaitan Kementerian Pendidikan, ia mengenai Universiti Awam.

"Kerajaan bercadang untuk menjadikan Universiti Awam ini mempunyai kuasa autonomi penuh tetapi pengurusan kewangan masih lemah.

"Jadi elok bagi PAC untuk menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap Universiti Awam ini," katanya.

Antara universiti berkenaan ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Bagi JKDM, Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil agensi berkenaan sekali lagi bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kutipan hasil daripada syarikat yang disiasat oleh JKDM kerana pelbagai isu.

"PAC mahu tahu sama ada tatacara penyiasatan yang dilakukan JKDM adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan hasil daripada syarikat yang mengelak daripada membayar cukai kepada kerajaan," katanya.

Menurut Nur Jazlan, isu perbelanjaan untuk semua aset milik kerajaan seperti bangunan dan peralatan turut disentuh pada pembentangan berkenaan.

"Kita dapati kerajaan tidak membeli barangan untuk tujuan penyelenggaraan. Sepatutnya, semakin lama diguna maka semakin tinggi kos selenggara.

"Bagaimanapun, ketika ini, semakin lama maka semakin kurang bajet untuk penyelenggaraan menyebabkan aset berkaitan uzur sebelum rosak dan terpaksa dilupuskan," katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan turut menegur pengurusan Hotel Seri Malaysia di seluruh negara yang didapati bermasalah dari segi pengurusan kewangan.

"PAC dapati wujud pembayaran diragui dan kami akan siasat hotel di bawah Kementerian Kewangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:23 PM