utama

Agong kongsi situasi pelantikan PM kelapan

Oleh Hayati Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkongsi situasi pertemuan baginda dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu hinggalah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menyorot kembali peristiwa itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, sekitar jam 5 petang pada hari yang sama, baginda berkenan menerima menghadap Dr Mahathir.

"Dalam pertemuan itu, Beta meminta Tun Mahathir supaya tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.

"Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, baginda bertitah, menjadi tanggungjawab baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada baginda untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari, Beta mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

"Pada 29 Februari, Beta menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri," titah baginda.

Titah baginda, atas permintaan beberapa ketua parti politik, baginda turut berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti politik mengemukakan pencalonan mereka supaya masa yang cukup diberikan untuk membuat perhitungan secara demokrasi.

"Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

"Lantaran itu, selepas melalui semua proses dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Oleh yang demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan," baginda bertitah.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 2:53pm
d