Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia menjelaskan tiada kem penempatan terbaru ditemui di Bukit Genting Parah, Wang Kelian, Perlis sepertimana yang tersiar dalam satu laporan akhbar tempatan semalam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, artikel bertajuk 'Kem pemerdagangan manusia terbesar didedah' adalah tidak benar berikutan penempatan itu ada dinyatakan Ketua Polis Negara dalam satu sidang media 25 Mei lalu.

"Pihak media yang hadir diberikan gambaran keseluruhan penempatan yang ditemui melalui gambar yang dipamerkan di galeri markas berkenaan.

"Artikel itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dakwaan wujud khemah deraan seksual berikutan penemuan coli dan pakaian dalam wanita," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tidak tepat untuk membuat andaian tanpa sebarang bukti kukuh.

"Memang wujud bangsal berasingan untuk menempatkan golongan lelaki dan wanita.

"Namun bangsal yang wujud adalah untuk membekalkan ubatan asas mengubati sakit ringan," katanya.

Shafie berkata, laporan wujudnya klinik kecil di penempatan itu agak keterlaluan.

"Selain itu, penemuan generator besar yang ditanam kononnya untuk mengelak bunyi bising juga begitu mengelirukan.

"Generator tidak mampu berfungsi jika ditanam kerana memerlukan ruang dan pengudaraan yang mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:41 AM