DR Abu Bakar  (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran produk GanoCare.
DR Abu Bakar (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran produk GanoCare.
Oleh Mohamad Hussin

Penyelidik Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menemui formulasi baru mengawal penyakit reput di pangkal batang (BSR) sawit melalui ciptaan baja organik yang dinamakan GanoCare.

Ketua Unit Penyelidikan Ganoderma dan Penyakit Kelapa Sawit MPOB, Dr Idris Abu Seman berkata, penyelidikan ini dihasilkan bersama Pegawai Penyelidik Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Prof Dr Mohamed Hanafi Musa.

Beliau berkata, GanoCare dihasilkan menggunakan teknologi baja daripada serbuk tandan kosong buah (EFB) sawit dan ‘beneficial elements’ yang digunakan untuk mencegah penyakit BSR sawit disebabkan kulat Ganoderma.

“GanoCare adalah amat sesuai digunakan oleh industri sawit sama ada di negara ini atau di luar negara kerana kaedah pengunaannya sebagai bahan baja.

“Kaedah ini lebih ekonomi, mudah, cepat dan senang digunakan di ladang sawit. Produk ini mudah untuk dikendalikan dan lebih cekap dari segi keberkesanan kos berbanding dengan produk yang lain.

“Jika diberi mengikut peraturan, boleh mengurangkan jangkitan penyakit BSR sawit dan meningkat­kan penghasilan pengeluaran sawit,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ganocare, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Naib Canselor UPM Prof Dato Dr Mohd Fauzi Ramlan; Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Ramlee Abu Bakar.

Dr Idris berkata, melalui sistem pengakaran kelapa sawit adalah kaedah utama jangkitan berlaku maka konsep pembajaan menggunakan baja yang mengandungi GanoCare adalah untuk meningkatkan kesuburan tanah, meningkatkan pertumbuhan dan pembesaran pokok, membina kerentanan serta tahap ketahanan sistem akar sawit.

“Kaedah pemberian produk secara taburan sebagai baja dapat memberi perlindungan kepada sistem pe­ngakaran sawit pada semua peringkat pembesaran.

“Oleh itu, kulat Ganoderma yang berada di dalam perumah (bahan hidup/mati) dalam tanah gagal untuk memasuki melalui dinding sel sistem pengakaran sawit seterusnya ia dapat menyelamatkan sawit dari jangkitan penyakit BSR.

“Unsur pemakanan tumbuhan terpilih daripada unsur makro, mikro, dan bahan organik dari tandan kosong sawit (EFB) yang diformulasi sebagai baja.

“Unsur mikro terpilih yang dikenal pasti dapat menguatkan sel akar sawit dan menghalang kemasukan jangkitan kulat Ganoderma dari dalam tanah,” katanya.

Menurutnya, produk ini sedia untuk dipasarkan dan kini dalam proses menandatangani perjanjian lesen pengeluaran dan pemasaran kepada FELCRA Plantation Services Sdn Bhd.

“Kajian makmal dan lapangan untuk nurseri telah lengkap dan kini produk dalam proses kajian lapa­ngan untuk pokok pramatang dan matang.

“Produk ini dijangka memberi faedah yang besar kepada industri sawit bukan saja di Malaysia, tetapi seluruh dunia melalui pengawalan jangkitan penyakit BSR sawit.

“Ini membolehkan pokok sawit mengeluarkan hasil yang banyak serta mengelak kerugian dari segi ekonomi dan dapat meningkatkan pendapatan industri sawit,” katanya.

Dr Idris berkata, penyelidikan ini bermula sejak tahun 2008 dan selesai pada tahun 2013 pada peringkat nurseri.

“Ia sudah dipatenkan di Malaysia dan luar negara dan sedang menunggu kelulusan. Kajian produk ini juga membabitkan penggunaan geran penyelidikan dari MPOB dan UPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 3:39 PM