Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Seramai 391 kanak-kanak diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2008 hingga 2014 kerana meminta sedekah atau mengutip dana di tempat awam di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kanak-kanak yang diselamatkan itu sama ada ditempatkan di lokasi khas atau dikembalikan kepada keluarga mereka.

"Dalam hal ini, JKM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen , Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa agensi lain bagi membanteras masalah ini.

"Bagi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang diselamatkan, mereka dikehendaki menyempurnakan bon di bawah perenggan 30 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka benar-benar melaksanakan tanggungjawab sewajarnya terhadap anak masing-masing," katanya menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pada masa sama, menurut Azizah, pihaknya tidak mempunyai pecahan jumlah serbuan dijalankan JKM seluruh negara kerana operasi berkenaan dilakukan apabila mendapat maklumat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 6:14 PM