SURAT Badan Ragbi Dunia kepada CCRC.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Jangan salahkan kami sepenuhnya”. Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Ragbi Piala Crescent (CCRC), Hisham Abd Rahman (gambar) yang juga pemilik JustOnSports (JOS) berhubung insiden tumbuk menumbuk yang dicetuskan pemain Algeria ke atas pemain negara dalam aksi final di Padang Politeknik Merlimau, Melaka, Ahad lalu.

Menurutnya, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak seharusnya meletakkan kesalahan 100 peratus di atas bahu pihaknya, ini kerana JOS sudah merancang langkah dan kawalan keselamatan yang secukupnya termasuk menyediakan anggota keselamatan ketika CCRC berjalan.

Namun, katanya, insiden itu berlaku bukannya disebabkan kawalan yang longgar sebaliknya tercetus di dalam perlawanan dengan pengadil bertindak selaku ‘polis’ dan ‘hakim’ ketika aksi berlangsung.

“Isunya sekarang, insiden itu bermula ketika dalam permainan. Seperti yang kita tahu, pengadil perlawanan yang harus bertanggungjawab untuk memastikan suasana perlawanan berlangsung dengan lancar.

“Pengadil itu dipilih KRM sendiri dan bukannya kami. Memang benar kami penganjur, tetapi menerusi surat yang dikeluarkan Badan Ragbi Dunia jelas menyatakan kejohanan itu mesti dijalankan di bawah kendalian dan peraturan KRM.

“Namun di sini, saya ingin katakan kami sudah lakukan mengikut apa yang dikehendaki KRM, malah siap membayar RM50,000 bagi membawa pasukan Malaysia dalam kejohanan itu.

“Tetapi saya amat kecewa, tidak ada seorang pengurusan tertinggi KRM yang hadir memberi sokongan. Bila dah berlaku insiden ini, mula menyalahkan kami bulat-bulat,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Hisham, pihaknya kini sedang mengumpul bukti kejadian untuk menyediakan laporan yang akan diserahkan kepada KRM dalam masa terdekat.

“Kami mengambil pengajaran daripada insiden buruk itu dan akan memastikan laporan kejadian disiapkan dengan teliti.

“Malah saya akan serahkan juga kepada Kesatuan Ragbi Asia (ARFU), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan badan-badan lain yang berkaitan,” katanya yang tidak teragak-agak untuk menyaman KRM sekiranya badan induk itu cuba lepas tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:08 PM