Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang Pegawai Pendakwa Trafik didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini, membabitkan wang suapan sebanyak RM12,000 dan RM1,500 pada April 2012.

Tertuduh, Inspektor Amrin Paiman, 53, yang berkhidmat di Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana meminta suapan sebanyak RM12,000 daripada seorang pesalah trafik.

Amrin turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) akta sama kerana bersetuju menerima dan terima wang suapan sebanyak RM1,500 daripada individu sama.

Pegawai polis terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Tambun dan sebuah bank di Menglembu, Ipoh pada 9 dan 10 April 2012.

Tertuduh yang diwakili Peguam Muhaimin Aris, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah dan Hakim Rihaida Rafif kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

AMRIN...didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah membabitkan kesalah meminta, bersetuju menerima dan menerima wang suapan pada April 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:12 PM