SHAHRIZAL nikah Hanis Husna 1 Mei lalu selepas dua kali tangguh.
SHAHRIZAL nikah Hanis Husna 1 Mei lalu selepas dua kali tangguh.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Tindakan Shahrizal Jaszle, 27, memuat naik sekeping gambar pada 1 Mei lalu yang memaparkan kekasihnya Hanis Husna Mohamad Nadzree, 19, berbusana pengantin beserta kapsyen ‘finally’ menimbulkan teka-teki.

Tidak lama selepas itu tersebar beberapa keping gambar perkahwinan pasangan terbabit. Namun, pelakon drama Asmara ini terus mendiamkan diri tanpa sebarang kenyataan rasmi.

Bagaimanapun ketika ditemui baru-baru ini, Shahrizal membuat pengakuan dia sudah mendirikan rumah tangga.

“Betul, saya sudah berkahwin pada 1 Mei lalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Sepatutnya kami berkahwin Disember lalu, tetapi menangguhkannya kerana arwah ayah sakit.

“Sekali lagi majlis ditangguhkan apabila ayah meninggal dunia pada Februari lalu. Selepas tiga bulan, barulah kami sepakat bernikah,” katanya.

Shahrizal dan pasangan selamat dinikahkan tepat jam 9 pagi di Masjid Kampung Ara, Damansara de­ngan bersaksikan keluarga terdekat.

“Bukan sengaja merahsiakan hal ini, tetapi ia atas permintaan keluarga yang mahukan majlis kami berlangsung secara privasi. Tambahan pula kes mahkamah (tangkap khalwat) saya masih berjalan.

“Selepas nikah saya ada buat majlis makan-makan. Insya-Allah majlis di sebelah isteri juga akan ada selepas ini,” katanya yang belum sempat berbulan madu.

Mahu mengarah

Meskipun dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, wajah Shahrizal sering menghiasi drama dan telefilem. Terbaru, drama Bidadari yang menggandingkannya dengan Amyra Rosli hangat ditayangkan di TV3.

Selepas sedekad bergelar pelakon, Shahrizal menyuarakan hasrat mahu mengarah.

“Memandangkan saya sudah ada produksi sendiri iaitu Jaszle Work, saya mahu mengorak langkah dalam bidang pengarahan pula. Buat masa ini saya masih belajar. Meskipun tidak mengikuti kursus khas dalam bidang itu, lokasi penggambaran adalah tempat saya belajar.

“Sebagai permulaan saya akan mengarah filem pendek atau muzik video. Daripada situ saya dapat buktikan saya boleh me­ngarah.

“Keinginan untuk mengarah semakin kuat apabila saya sudah ada skrip sendiri yang tersimpan sejak tiga tahun lalu. Ia kisah benar saya yang membabitkan hubungan bapa dan anak,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Shahrizal berharap pelakon berkarakter, Nasir Bilal Khan sudi membawakan watak bapa manakalah anak dilakonkan pendatang baru.

“Insya-Allah, jika semua berjalan lancar saya mulakan penggambaran tahun ini juga,” katanya yang menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai idola.

Biarpun sudah lama dalam industri dan sering diberikan watak utama, Shahrizal tidak pernah meletak harga.

Baginya, bayaran yang diterima selama ini berbaloi dengan kerja yang diberikan.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak pernah putus. Dari dahulu sampai sekarang, saya tidak pernah ‘demand’ atau naikkan bayaran. Nilai saya tetap sama.

“Saya juga tidak kisah soal rakan gandingan kerana apa yang lebih penting adalah skrip,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 2:14 PM