Juadah istimewa, maggi ketam nipah.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Kali pertama melihat hidangan maggi ketam nipah di atas meja ditambah dengan aroma masakannya, penulis sudah jatuh cinta dan tidak mampu menahan selera makan.

Masam, manis, masin dan pedas semuanya cukup ditambah dengan kesegaran rasa ketam nipah yang penuh de­ngan isi memang menarik.

Restoran Slero D’ Timur yang berkonsep keluarga dan mengetengahkan makanan Utara Thai ialah perniagaan keluarga diterajui Fida Hidayah Mohamad Fakri serta adik-beradiknya, Fida Sharina Mohamad Fakri dan Filiz Fida Adila Mohamad Fakri.

Fida berkata, hidangan maggi ketam ialah menu paling istimewa di Slero D’ Timur.

“Kuah maggi ketam yang pedas dan penuh rasa makanan laut itu dibuat daripada stok makanan laut yang direbus selama beberapa jam.

“Ketam nipah segar didatangkan khas dari Sabah bagi menjaga kualiti dan kesegaran,” katanya.

Selain maggi ketam, hidangan lain ialah ketam masak cili, ketam masak lada hitam dan sup ketam manakala bagi penggemar ketam bunga, Slero D’ Timur turut memberi pilihan kepada mereka memilih ketam mereka suka.

“Slero D’ Timur mengetengahkan konsep restoran untuk keluarga apabila pelbagai pilihan makanan ditawarkan selain menu utara Thai bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Biasanya jika makan dengan keluarga tidak semua mahu menikmati menu yang sama, jadi kami beri pilihan setiap ahli keluarga duduk dan makan bersama,” katanya.

Hidangan lain yang disediakan termasuk tomyam siakap dan ‘baby octopus’ yang sukar ditemui di restoran lain.

Manakala bagi penggemar makanan Barat, hidangan yang ditawarkan ialah chicken parmigiana iaitu ayam yang digoreng dalam serbuk roti kemudian diletak keju dan sos pasta. Ia dihidang bersama kentang goreng, sayuran dan sos lada hitam.

Bagi penggemar masakan pantai timur, hidangan istimewa yang disajikan di sini ialah nasi kukus ‘special of the day’ yang boleh dimasak bersama ketam atau hidangan lain.

Bagi penulis, suasana di restoran ini sangat menenangkan dan mesra keluarga kerana berhadapan tasik dan mempunyai ruang makan yang selesa.

Restoran di Ayer@8, Precint 8 Putrajaya itu turut menawarkan pelbagai pilihan pencuci mulut, antaranya sira labu yang dihidang bersama aiskrim.

Namun, penulis memilih ‘red rudy’ iaitu hida­ngan pencuci mulut dari Thai yang seakan-akan cendol tanpa gula merah. Rasanya yang wangi de­ngan hirisan nangka dihidang sejuk dengan santan yang tidak terlalu pekat.

Pengunjung juga boleh memilih pelbagai jenis kek sebagai pencuci mulut dan ia disediakan sendiri pemilik yang paling digemari ialah ‘brownies with ice cream’.

Minuman istimewa di restoran ini ialah jus detoks dan sirap ros laici.

Restoran itu dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam dan boleh dihubungi di talian 012- 2577000 atau 012-2572002 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 1:36 PM