Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MD NOR lampirkan fakta mengenai genre Massive Multiplayer Online Role Playing Game (MMORPG) sesuai untuk tatapan semua.

Massive Multiplayer Online Role Playing Game (MMORPG) antara genre permainan video yang popular dan digilai ramai. Konsepnya unik malah menitikberatkan kebijaksanaan pemain membentuk satu karakter yang kuat dan tersendiri.

Bagaimana setiap MMORPG mempunyai pengikutnya sendiri sudah pastinya bergantung pada tahap keseronokan yang diperoleh. Berikut antara ciri popular yang membentuk identiti MMORPG sebagai genre permainan yang paling terulung dalam industri permainan video.

Ekonomi

Ekonomi yang realistik - Bayangkan dunia permainan yang memfokuskan sistem ekonomi yang seolah-olah menyamai dunia nyata. Itu antara ciri utama dalam genre MMORPG yang diminati pemain. Ciri ini menitikberatkan dua aspek iaitu ‘virtual currency’ dan ‘trading’.

Virtual currency - Sistem mata wang yang memboleh­kan pemain menukar ataupun membeli barangan ketika berada dalam permainan. Peningkatan dan penurunan mata wang ini ditentukan oleh tahap kesukaran mendapat barangan yang ingin didagang­kan.

Dagangan - Pemain menukar barangan tanpa membabitkan transaksi wang. Jika pemain lain mempunyai barangan yang lebih berkualiti maka dia harus mengemukakan item yang tidak berkualiti dengan jumlah yang banyak mengikut ketetapan.

Eksklusif - Terdapat juga item yang eksklusif dan hanya boleh diperoleh melalui ‘auction house’. Sistem ini membolehkan pemain membeli item itu menggunakan mata wang dalam permainan yang ditukar melalui wang ringgit.

Tapi, terdapat juga masalah yang timbul daripada kemudahan sistem ini. Kerana kekurangan kod sekuriti dan pemantauan aktiviti ini, ekonomi dalam permainan boleh menjadi kucar-kacir jika tidak dikawal.

Bots - Difahamkan, ia digunakan oleh rata-rata pemain yang menginginkan ganjaran bernilai dengan kadar segera. Contohnya, bot yang digunakan pemain biasanya memiliki kuasa luar biasa berbanding set kuasa sedia ada. Ini boleh menggang­gu pemain ‘grinding’ untuk mendapatkan item eksklusif.

Scam - Penipuan bukan saja wujud dalam dunia nyata tapi juga dunia digital. Pemain yang mengamalkan ‘scam’ ini biasanya mempunyai perisian yang canggih untuk mengganggu kod sistem dalam permainan. Ia seterusnya berupaya merosakkan sistem ‘trading’ yang sedia ada.

Trend

Konsep permainan MMORPG tidak kekal malah berubah-ubah mengikut permintaan daripada pemain. Baru-baru ini, kebanyakan pengeluar menambah baik kandungan dalam permainan seperti memperkenalkan sistem ‘dungeon’.

Grinding - Difahamkan, ‘grinding’ menjadi ciri utama yang membentuk identiti genre MMORPG. Pemain perlu membunuh raksasa yang bertaburan dalam dunia digital secara berulang untuk menaikkan ‘experience’ yang membolehkan karakter pemain dikurniakan set kuasa baru dan ditambah kekuatannya.

Dungeon - Sistem ini mula dipopularkan sejak tahun 2010 lagi. Dragon Nest antara permainan terawal yang menggunakan konsep ini untuk keseluruhan permainan. Difahamkan, pemain perlu berganding bahu bersama pemain lain dan membentuk ‘party’ yang membolehkan mereka berjuang bersama-sama.

Selepas membentuk ‘party’, pemain perlu memilih ‘dungeon’ yang diinginkan mengikut tahap kesukaran masing-masing. Berbeza dengan ‘grinding’, sistem ‘dungeon’ lebih kompleks kerana ia tidak membosankan dan pemain perlu mara dari peringkat bawah hinggalah bertemu dengan ketua penjahat.

Watak lazim

Dalam MMORPG, lazimnya pemain perlu memilih jenis ‘class’ yang diinginkan dan setiap satunya mempunyai latar belakang dan kuasa tersendiri. Berikut antara empat watak yang biasa dipaparkan dalam genre MMORPG.

Healer - Bukan saja penting dalam medan perang malahan ‘healer’ dianggap penyelamat dan karakter ‘wajib’ dalam sesebuah kumpulan. Kekuatannya dinilai dari segi penggunaan kuasa yang memastikan setiap ahli pasukan terus hidup berjuang. ‘Heal’ antara kuasa ikonik yang menambahkan nyawa karakter pemain mengikut kadar tertentu. ‘Resurrection’ membolehkan ‘healer’ menghidupkan pemain yang tewas di medan perang.

Archer - Bukan saja pantas tapi juga hebat dalam menentukan sasaran. Itu antara ciri utama ‘archer’ yang menarik perhatian sesiapa saja. Kebolehannya untuk terus hidup dengan mengelak serangan dan membantu mencederakan musuh dari jarak yang tidak diduga menjadikan watak ini rebutan dalam kumpulan.

Warrior - Bukan semua pemain berani berdepan dengan ratusan musuh yang menyerang serentak. Namun bagi mereka yang menggunakan watak ini, tidak perlu rasa gentar dan takut. Ini kerana ‘warrior’ dilengkapi dengan jumlah nyawa yang banyak dan set kuasa yang memboleh­kan semua sera­ngan tertumpu padanya.

Magician - Tanpa kuasa magik, pasti mengambil masa yang lama untuk mara ke peringkat lebih tinggi. ‘Magician’ memiliki kuasa yang tiada taranya kerana setiap skil yang diaplikasikan dalam serangan biasanya boleh mengenakan ‘damage’ yang tinggi dan mampu melenyapkan ­kesemua pihak musuh serta berupaya membeku ataupun melemahkan serangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 1:47 PM