Saya menggunakan kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) generasi kedua jenama Honda sejak empat tahun lalu.

Setiap kali dihantar untuk servis, saya hanya menggunakan minyak enjin yang disyorkan oleh bengkel iaitu separa sintetik.

Namun sejak setahun setahun kebelakangan ini, enjin kereta saya berbunyi sedikit kuat seperti menggunakan bahan api diesel.

Rakan ada memaklumkan bahawa saya perlu menggunakan minyak enjin khas untuk enjin Honda I-Vtec dan bukan jenis biasa seperti kereta lain.

Saya bercadang untuk menggunakan minyak itu pada servis akan datang dan mahu pandangan daripada ruangan ini.

AZIZAN ABD KARIM,

Seremban, Negeri Sembilan.

Penggunaan minyak yang berkualiti mampu memberikan perlindungan terbaik kepada enjin anda. Kesesuaian minyak pelincir bagi kereta mampu dipastikan dengan mengikut saranan gred yang disyorkan pengeluar jentera.

Pelbagai jenis minyak di dalam pasaran masa kini dan panduan gred dipaparkan pada botolnya. Apa yang membezakan hanyalah jenama, harga dan bahan tambahan.

Gred minyak dipaparkan adalah ukuran kualiti tertinggi yang dilepasi ketika diuji.

Seandainya minyak menepati tahap gred diperlukan kereta anda, ia mampu memberikan perlindungan sewajarnya. Kita cuma perlu berhati-hati dengan minyak pelincir tiruan terutama jenama terkenal di pasaran.

Tiada minyak pelincir yang mampu memulihkan bahagian enjin haus atau calar, biarpun peningkatan kepekatan minyak kadang-kala mampu menghilangkan bunyi bising.

Bagaimanapun, ia sebenarnya akan menambah bebanan pada kelancaran enjin dan mampu meningkatkan penggunaan bahan api.

Oleh itu, mungkin sudah terlewat untuk menukar minyak pelincir selepas ia mula mengeluarkan bunyi bising.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM