Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Kerajaan sudah mengambil tiga langkah penting iaitu meningkatkan penawaran rumah dalam pasaran, mengekang aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah serta memberi kemudahan pembiayaan bagi mengawal kenaikan harga rumah.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, dalam langkah pertama iaitu meningkatkan penawaran rumah dalam pasaran, strategi dijalankan ialah melalui program pembinaan satu juta rumah mampu milik.

"Ia dilaksanakan agensi kerajaan seperti Jabatan Perumahan Negara, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kerajaan negeri serta pemaju perumahan swasta.

"Pembinaan rumah ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada pemaju untuk membina rumah mampu milik," katanya, semalam.

Bagi langkah kedua, Abdul Rahman berkata, antara yang dilakukan kerajaan ialah menaikkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah serta menaikkan harga jualan minimum harta tanah dibeli warga asing kepada RM1 juta.

Langkah ketiga pula membabitkan pembiayaan perumahan melalui Skim Rumah Pertamaku, Skim MyHome dan Skim Perumahan Belia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 4:42 PM