PENGUATKUASA KPDNKK memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang di Kapit.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur akan membuat pemantauan setiap hari di semua bazar Ramadan di ibu negara bagi mengesan peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah.

Pengarahnya, Muez Abd Aziz berkata, terdapat 85 lokasi bazar Ramadan di 11 parlimen yang akan diperiksa bagi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

“Peniaga diingatkan supaya meletakkan tanda harga ke atas juadah atau barangan yang dijual serta menggunakan alat timbang dan sukat yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika terdapat peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah semasa pemantauan dijalankan, pihaknya akan meminta peniaga terbabit mengemukakan tunjuk sebab mereka berbuat demikian, atau untuk kesalahan lain akan dikenakan kompaun serta merta.

Beliau juga menasihatkan peniaga supaya menjual barang niaga mereka pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihatkan pengguna supaya mengubah sikap dan lebih peka dalam menilai perbezaan harga di setiap gerai di bazar Ramadan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana kebanyakan gerai menjual makanan yang sama, namun pada harga berbeza.

“Dijangkakan memang ada kenaikan harga makanan kerana peniaga membeli barangan daripada peruncit yang mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Justeru itu, pengguna harus lebih bijak dalam menilai dan membuat aduan kepada pihak berkuasa jika mendapati harga makanan yang dijual melampau daripada biasa.

“Namun jika pengguna sendiri berpuas hati dengan kualiti makanan dan menganggap harganya berbaloi, perkara itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas menarik balik lesen atau menyenaraihitamkan peniaga bazar Ramadan yang gagal mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, tahap kesedaran peniaga bazar Ramadan berkaitan kebersihan dilihat masih rendah terutamanya membabitkan peniaga sambilan.

Pada tahun lepas misalnya, daripada 1,005 sampel makanan bazar Ramadan yang diuji, 498 sampel didapati tercemar dan 128 notis kompaun telah dikeluarkan kepada penjaja terbabit.

“Kita nampak memang tahap kesedaran masih lemah, peniaga bazar yang berniaga secara sambilan memang bermasalah...ada yang tidak memakai penutup kepala dan sarung tangan ketika menyediakan makanan.

“Kita akan ambil tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penguatkuasa Keselamatan Makanan Bazar Ramadan, hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 11:00 PM