SENI kaligrafi menggunakan dakwat khas.
Oleh Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my


Kaligrafi ialah sejenis karya seni rupa yang menekan keindahan bentuk huruf yang dimodifikasi atau digayakan sehingga mempunyai nilai estetika.

Perkataan kaligrafi ini berasal daripada bahasa Yunani iaitu kalios bermaksud indah manakala graphia bererti tulisan atau coretan.

Kaligrafi adalah karya seni ukiran tangan yang artistik selain memiliki nilai seni estetika tinggi.

Di Malaysia, penemuan Batu Bersurat di Terengganu membuktikan khat Arab diguna pakai di alam Melayu sejak ratusan tahun, contohnya tulisan itu diukir di atas kayu keras.

Ini keistimewaan seni khat di Malaysia yang diwarisi turun-temurun dan dimanfaatkan untuk mempertingkatkan seni khat Islam.

Namun, kecintaan terhadap seni khat kini semakin pupus memandangkan ramai generasi muda yang tidak tahu membaca Jawi.

Justeru, Festival Belia Putrajaya 2015 anjuran Kementerian Belia dan Sukan membawa kelainan tahun ini dengan melantik 25 mentor untuk memberi peluang kepada belia berkongsi bakat mereka.

Satu daripada 25 mentor yang dipilih Rakan Muda ialah Mohammad Firdaus Mahadi, 31, yang mahir dalam seni khat.

Katanya, seni khat ini perlu dipelajari kerana kebanyakan belia semakin susah membaca Jawi.

“Saya pernah mengajar bengkel seni khat dan seorang remaja lelaki memberitahu dia tidak tahu Jawi, tetapi bertanya bolehkah dia belajar seni khat.

“Rugi jika belajar khat, tetapi tidak tahu Jawi, justeru inilah peluang saya untuk membantu golongan belia,” katanya.

Menurutnya, belia yang berminat diajar seni khat secara berperingkat dan santai.

“Mereka diberi peralatan asas penulisan seni khat seperti kertas seni yang boleh mengalirkan dakwat, batang kayu seperti resam atau handam dan dakwat khas.

“Saya mengambil masa selama tiga jam mengajar peserta, tetapi satu jam terakhir peserta diberi peluang menghasilkan produk mereka iaitu batik khat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 1:33 PM