KESIBUKAN daerah Shibuya pada waktu puncak.
KESIBUKAN daerah Shibuya pada waktu puncak.
Oleh Hafiz Ithnin


"Pastikan merokok hanya di tempat dibenarkan dan buang bekas makanan atau letakkan semula ditempat disediakan. Ini Jepun!" peringatan seorang rakan media sebaik saja kami menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Narita, Tokyo.

Kesempatan menjejakkan kaki di negara matahari terbit itu bukan sesuatu yang merugikan. Manakan tidak, pelancong bukan saja dapat melihat keindahan bandar raya yang sungguh bersih, sistematik malah penduduknya mengamalkan kehidupan menepati masa.

Malah, penulis bersama tiga rakan media dari Malaysia bertuah disediakan tempat penginapan sebuah hotel berdekatan mercu tanda utama bandar raya itu, Tokyo Tower.

Kesempatan itu penulis gunakan bagi meninjau suasana bandar raya Tokyo yang serba moden dari menara setinggi 315 meter itu. Apabila berada di atas, pengunjung dapat melihat susunan padat bangunan pencakar langit, jalan raya berlapis serta sekiranya cuaca baik, panorama Gunung Fuji dari jarak jauh juga dapat dinikmati.

Pada waktu malam, kelihatan Tokyo Tower seakan sama mercu kebanggaan Paris iaitu, Eiffel Tower memandangkan bentuk­nya hampir serupa.

Apabila melewati Shibuya ia­itu satu lokasi dalam Tokyo adalah pengalaman menarik yang mana penulis dapat melihat gaya hidup serba moden rakyat Jepun.

Di situ, bukan saja dapat melihat pelbagai fesyen jalanan yang digayakan remaja Jepun, malah makanan serta kesibukan warga kotanya mengejar masa juga memberi pengalaman tidak boleh dilupakan.

Memesan sushi menjadi perkara wajib sekiranya ke Jepun. Menariknya sistem pemesanan menu sehingga penghantaran makanan dilakukan secara automatik tanpa langsung membabitkan tenaga manusia.

Selain itu, selain sushi, makanan yang menarik boleh dinikmati di Tokyo ialah pelbagai jenis pastri yang mempunyai rasa lazat yang tersendiri.

Di setiap restoran di Tokyo terdapat bahagian yang hanya untuk perokok memandangkan tidak dibenarkan merokok di tepi jalan. Namun, untuk berada di bahagian merokok di dalam restoran membuatkan penulis berfikir panjang untuk berada lama di dalamnya dek terlalu sesak dengan asap.

Sikap membuang bekas makanan dan membersihkan meja selepas makan juga adalah amalan yang dipraktikan di situ. Sekiranya terlupa untuk membuang bekas makanan atau meletakkannya di tempat disediakan selepas makan, orang di sebelah anda tidak teragak-agak untuk menegur.

Bagi yang meminati karya animasi dari patung sehingga permainan maya, Akihabara adalah destinasinya. Di situ, terdapat pelbagai kedai yang mempamerkan karya animasi terkemuka Jepun.

Sebut saja, Doraemon, Dragon Ball, Naruto malah nama-nama asing yang lain semua ada di sepanjang jalan ini. Malah, di luar kedai, penulis boleh melihat gadis-gadis tempatan berpakaian karakter anime mempromosi produk jenama yang dijual di kedai masing-masing.

Namun, mereka tidak membenarkan untuk pelancong mengambil foto dengan pelat Inggerisnya, "no pitcha, sir,".

Kedudukan hotel penulis de­ngan stesen monorel ke destinasi dalam Tokyo pula tidak begitu jauh, hanya lebih kurang 200 meter berjalan kaki.

Untuk merasai sendiri menggunakan pengangkutan awam utamanya, tren, penulis mengambil keputusan untuk melawati destinasi terkenal di Tokyo iaitu Shinjuku.

Dari Stesen Akabanebashi ke Shinjuku hanya mengambil masa 15 minit perjalanan yang tidak perlu menukar tren lain untuk ke destinasi berkenaan.

Shinjuku, keadaannya sama seperti Shibuya yang mana terdapat banyak gedung beli-belah dan pel­bagai jenama fesyen antarabangsa dan tempatan.

Selepas puas berjalan seorang diri di Shinjuku, penulis mengambil keputusan untuk pulang ke hotel memandangkan ketika itu jam sudah melewati 9 malam dan tren terakhir di Tokyo sekitar jam 11.30 hingga 12 tengah malam.

Sememangnya untuk pulang ke hotel memberi pengalaman peribadi paling menarik. Untuk ke Stesen Akabanebashi terdapat pelbagai cara menaiki kereta apinya.

Hampir 45 minit penulis bertanya kepada orang tempatan cara untuk ke destinasi itu, terdapat lima cara yang berbeza. Orang tempatan sememangnya sukar untuk berbahasa Inggeris tetapi mereka cuba sebaik mungkin menerangkan kepada penulis cara untuk ke destinasi berkenaan dengan melakar simbol di atas kertas.

Pengalaman sesat di bawah terowong monorel adalah pengalaman tidak dapat dilupakan tetapi orang tempatan sememangnya cukup menghormati serta berusaha membantu pelancong walaupun sukar untuk memahami arahan mereka.

Bercakap mengenai orang tempatan, sekiranya berkunjung ke mana-mana pusat beli belah, mereka akan sentiasa tunduk hormat setiap kali pelanggan memasuki premis perniagaan mereka.

Malah, menurut pemandu pelancong kami, orang Jepun menggangap pelanggan sebagai dewa yang memberi kemewahan dan perlu menghormati kedatangan mereka.

(Penulis berada di Tokyo bagi menghadiri program Frequencies Asia anjuran pengeluar telefon pintar HTC sempena pelancaran model terbaru, HTC Butterfly 2)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:01 AM