RAMADAN bulan untuk mempertingkatkan amal ibadat dan mendidik diri menjadi lebih baik.
Oleh Tan Sri Dr Abdullah Md Zin

Beberapa hari lalu, kita baru saja meninggalkan Syaaban. Ramadan kembali hadir. Bagaimanakah semangat umat Islam sepatutnya apabila tibanya bulan mulia ini?

Sirah mencatatkan menjelang kedatangan Ramadan, Rasulullah SAW membuat beberapa persediaan di akhir Syaaban.

Kalangan sahabat RA dikumpulkan oleh Rasulullah SAW untuk diterangkan fadilat Ramadan al-Mubarak.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam:

l

Bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan iaitu dengan mengulang kaji kembali pelajaran berkaitan ibadat puasa supaya kita menyambut Ramadan dengan mempunyai pedoman dan petunjuk sempurna.

Setiap inci pengetahuan berkenaan ibadat ini disemak, merangkumi rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah dan rahsia yang terkandung dalam ibadat puasa.

l

Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan hati dan kegembiraan menyambut Ramadan sebagaimana Rasulullah SAW dan kalangan sahabat baginda mengucapkan; “marhaban, marhaban ya Ramadan.”

l

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga diberikan kekuatan dan tenaga serta kelapangan untuk mengerjakan ibadat puasa.

l

Memperbanyakkan doa agar Allah SWT mengurniakan kejujuran, keikhlasan, jauh daripada sifat riyak, ujub dan takbur yang boleh menghilangkan pahala puasa.

l

Menguatkan semangat dan hemah menjalankan latihan kerohanian di bulan puasa dengan lengkap dan sempurna.

l

Menghindarkan diri daripada terlebih dengan adat yang membebankan pada Ramadan seperti berbelanja lebih dan membazir untuk membeli juadah berbuka puasa.

l

Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Islam dengan kedatangan Ramadan.

Puasa dan fadilatnya

Dalam bahasa Arab, puasa bermaksud menahan atau meninggalkan. Manakala ulama fiqah meletakkan puasa ialah menahan diri (al-imsak) daripada makan minum, nafsu syahwat dan perkara yang boleh membatalkannya di waktu siang, bermula dari terbit fajar hingga tenggelamnya matahari.

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Hakikatnya, Allah SWT memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa ibadat puasa menimbulkan ketakwaan dalam hati seseorang.

Ibadat ini jika ditunaikan mengikut peraturan dan adabnya yang sebenar mampu menguatkan hati supaya bertakwa dan melahirkan sifat yang menerbitkan tingkah laku terpuji.

Puasa juga mampu menerbitkan semangat jihad melawan hawa nafsu yang sedia wujud dalam diri manusia.

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa.” (Surah asy-Syams, ayat 7 dan 8)

Ibadat puasa memberi kesempatan kepada manusia untuk membersihkan nafsu melalui ibadat dan zikir kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu)...” (Surah Yusuf, ayat 53)

Ramadan medan untuk umat Islam menyuburkan semangat jihad menentang waswas atau bisikan jahat syaitan iaitu musuh umat manusia seluruhnya.

Semangat jihad ini dipupuk melalui sifat sabar mengerjakan kebaikan dan kebajikan di sepanjang bulan ini.

Ibadah puasa juga melahirkan rasa keseronokan mengerjakan kebaikan. Sebagaimana Allah SWT mengisyaratkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Hajj, ayat 77)

Ramadan juga adalah bulan latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu membentuk peribadi dan akhlak Islam.

Ibadat puasa melahirkan sifat amanah, sekali gus menyuburkan sama rasa takwa yang merangkumi semua sifat terpuji dan luhur, sama ada batin mahupun zahir seseorang insan yang bergelar Muslim atau Muslimah.

Rasulullah SAW mengingatkan perkara ini dalam sabda baginda, mafhumnya: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang, yang tertinggi adalah kalimah ‘laa ilaaha illallah’ (tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah) dan yang paling rendah adalah membuang gangguan yang ada di jalanan.” (Muttafaq alaih)

Fungsi sifat takwa

Sifat takwa akan mampu berfungsi sebagai pengawal kepada kebaikan dan menjernihkan jiwa daripada dosa.

Ia akan menjernihkan jiwa dan hati manusia daripada sifat syirik dan nifak. Sifat syirik menyekutukan Allah dengan makhluk lain dan melakukan sifat orang yang musyrik manakala nifak pula perbuatan berpura-pura beriman, tetapi hakikatnya kufur dan bersifat dengan sifat orang munafik.

Rasulullah SAW mengungkapkan situasi ini dengan sabda baginda, mafhumnya: “Setiap anak keturunan Adam adalah seorang yang selalu melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah orang yang selalu bertaubat.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Transformasi diri

Kita mengharapkan institusi Ramadan berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan, rendah diri dan ketakwaan sebagai hamba-Nya.

Semoga proses transformasi diri ke arah lebih baik menjadi kenyataan apabila berakhirnya bulan penuh keberkatan ini.

Janganlah menjadi hamba yang berpuasa cuma mendapat pahala menahan lapar dan dahaga.

Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri.

Ringkasnya, pada hemah saya kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam.

Inilah transformasi seorang Islam pasca Ramadan. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan karim!

Penulis Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Keterangan gambar: ( AF8782131.jpg )

RAMADAN bulan untuk mempertingkatkan amal ibadat dan mendidik diri menjadi lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 6:55 PM