PIZARRO (tengah) diasak dua pemain Venezuela di Stadium Elias Figueroa.
AP

Valparaiso, Chile: Jaringan minit ke-72 penyerang veteran Claudio Pizarro membantu Peru menang 1-0 ke atas Venezuela yang beraksi dengan 10 pemain semalam, sekali gus menyebabkan semua empat pasukan dalam Kumpulan C Copa America terikat dengan tiga mata menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Penyerang Bayern Munich itu meledak menerusi rembatan kaki kiri yang ditepis lemah penjaga gol Venezuela, Alain Baroja sebelum menerjah ke dalam jaring.

“Ia gol penting kerana ia mencerahkan peluang kami untuk layak,” kata Pizarro. “Itulah sebabnya saya teruja. Lagipun, menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan adalah penting.”

Venezuela, yang mengejutkan Colombia pada perlawanan pertama mereka, menguasai hinggalah pertahanan Fernando Amorebieta dibuang padang pada minit ke-29 kerana memijak kaki pemain Peru, Paolo Guerrero.

Semua empat pasukan dalam Kumpulan C - Brazil, Peru, Venezuela dan Colombia - terikat dengan tiga mata selepas masing-masing meraih satu kemenangan. Pada perlawanan terakhir kumpulan awal pagi Isnin ini, Colombia berdepan Peru, manakala Brazil menentang Venezuela.

Venezuela menguasai babak awal saingan ketika Peru berdepan masalah untuk melepasi kawasan sendiri. Penyerang Venezuela, Salomon Rondon berpeluang pada minit ketujuh, namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Pedro Gallese.

Insiden Amorebieta dibuang padang oleh pengadil Raul Orosco mengubah suasana. Memang jelas Amorebieta memijak Guerrero, namun tidak pasti sama ada ia secara sengaja.

“Kami menguasai perlawanan dan dengan 11 pemain keputusan mungkin berbeza,” kata pemain tengah Venezuela, Tomas Rincon. “Sukar bermain kurang seorang dalam tempoh yang lama.”

Insiden itu mengubah tempo perlawanan sekalipun Peru gagal mengancam pada babak pertama walaupun mempunyai kelebihan seorang pemain.

Peru hanya mengancam pada awal babak kedua dengan Pizarro dan Guerrero kecewa selepas tandukan terbang mereka melepasi palang.

Selepas gol Pizarro, Peru lebih banyak menguasai pegangan bola dan berjaya mengekalkan kedudukan itu ketika cabaran Venezuela semakin pudar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:42 AM