DEKORASI bilik tidur utama dan ruang tamu sama penting.

Beberapa minggu lalu saya sibuk menulis tip dekorasi ruang makan dan ruang tamu bagi menyambut Aidilfitri hingga e-mel saya dipenuhi pertanyaan pembaca yang keliru mengenai hiasan bilik tidur. Adakah perlu diketepikan saat menjelang hari raya hanya kerana fokus pada ruang makan dan ruang tamu saja?

Jawapannya tidak kerana bilik tidur juga memainkan peranan dalam sambutan Aidilfitri.

Dekorasi bilik tidur utama dan ruang tamu sama penting. Jangan hanya biarkan ruang tamu dihias cantik untuk tatapan tetamu pada hari lebaran hinggakan bilik tidur semak samun. Bilik tidur utama juga perlu menarik kerana saat pertama aura perayaan dirasai ketika bangun tidur pada pagi hari.

Jika bangun dari tidur pada awal pagi Syawal, kala takbir bersahutan, keadaan bilik masih lintang-pukang, pastinya suasana perayaan anda terganggu sepanjang hari. Tetapi, jika bangun pagi dalam suasana bilik tidur yang serba indah, ditambah takbir memecah keheningan, kemeriahan dan keceriaan pasti dirasai.

Bilik tidur utama bukan hanya tempat untuk melelapkan mata, ia juga untuk berehat, membuat kerja rumah dan kebanyakan kita menjadikan sebagai ruang istirahat privasi termasuk dilengkapi dengan televisyen.

Bagi mencipta suasana menarik, anda perlu menambah dekorasi eksklusif supaya bilik tidur utama lebih segar dan ‘hidup.’

Melihat kepada aliran masa kini, warna polos seperti putih, coklat dan krim berupaya menjadikan bilik lebih selesa dan redup. Elak memilih warna terang seperti merah, kuning atau jingga kerana ia memberi tenaga dan membuatkan bilik ‘panas’.

Perabot

Pilih perabot sesuai dengan konsep bilik tidur utama anda. Pastikan katil dan meja sisi ditempatkan di ruang yang sesuai. Elak meletak katil bertentangan dengan pintu masuk, lebih-lebih lagi jika pintu itu menghadap ruang tamu. Pastikan saiz perabot bersesuaian dengan ruang bilik dan pilih almari yang mempunyai ruang stor lebih fleksible dan luas.

Seelok-eloknya perabot di bilik tidur hadir dalam warna dan corak sedondon supaya tampak lebih bersesuaian. Jika anda ingin memasang kertas dinding, pilihlah kemasan yang lembut dan ringkas. Elak corak yang terlalu sarat dan besar kerana ia akan menjadikan suasana kamar lebih sesak dan menolak elemen istirahat.

Pilih corak cadar yang sesuai dengan konsep ruang bilik tidur utama anda. Cuba gunakan cadar yang lebih polos dan natural kerana ia membuat bilik tidur utama anda lebih kemas serta tenang. Pilih fabrik dari jenis kain kapas supaya ia mudah, selesa tampak cantik dan lembut pada permukaan tilam anda.

Pilihan satin juga antara alternatif terbaik. Elakkan kain cadar yang keras dan kasar kerana ia kelihatan kejung pada permukaan tilam dan mencacatkan dekorasi katil anda. Bagi menambah seri, letak sedikit hiasan deko yang menarik seperti gantungan gambar menenangkan seperti pemandangan atau bunga-bungaan. Jika rajin dapatkan satu sudut untuk sentiasa meletakkan bunga segar sebagai penyeri suasana. Antara bunga segar dicadangkan ialah carnation, mawar dan lily.

Teknik pencahayaan juga amat penting. Elak menggunakan lampu kalimantang yang terang benderang di bilik tidur. Pilih lampu kuning malap supaya suasana menjadi lebih tenang dan redup. Jika anda sering membaca di bilik tidur, dapatkan lampu kaki terang, memadai menerangi sudut bacaan dan bukan untuk keseluruhan bilik.

Akhirnya, usah lupa haruman dan jika anda malas menyalakan lilin aroma, cuba hiris helaian daun pandan dan campur bersama kelopak bunga. Letak dalam pasu kaca dengan sedikit air putih dan campuran air mawar, percayalah dalam beberapa minit seluruh bilik tidur pasti harum mewangi dan berkekalan hampir seminggu lama­nya. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 12:18 PM