mutakhir

Sosial Enterprise mahu bantu golongan terjejas Covid-19

Oleh Hadzlan Hassan

DALAM usaha mengurangkan kebimbangan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, satu program dilancarkan untuk membantu golongan itu.

Badan bukan kerajaan (NGO), Sosial Enterprise yang bermatlamatkan saling mengangkat saling membantu dan memberi tanpa henti khusus untuk golongan terjejas akibat Covid-19.

Pengerusinya, Norlukmal Mat Ghani berkata, pihaknya terpanggil untuk bersama-sama kerajaan membantu mereka yang terjejas kerana merasakan tanggungjawab kepada negara, agama dan bangsa.

Katanya, untuk majikan, Sosial Bispoint akan menjalankan program Place & Train atau ambil kerja dan dilatih kerana ia adalah insentif kerajaan untuk membantu majikan secara percuma.

"Ia sesuai disertai oleh majikan yang memerlukan pekerja bersama-sama di dalam syarikat bagi memulakan norma baharu selepas PKP.

"Program ini dibantu pakar motivasi hebat seperti Dr Tengku Asmadi, Dr Azuraida Shahadan dan tokoh lain yang hebat.

"Sosial Bispoint akan bertanggungjawab mencari dan melatih majikan tanpa mengenakan sebarang kos malah diberi 'jalan' untuk mereka mendapat Insentif Penggajian bulanan," katanya.

Menurutnya, seperti disarankan, majikan juga diberi elaun khas sebagai pembantu jurulatih untuk setiap pekerja yang diambil dalam program ini.

"Majikan yang layak memohon terdiri daripada semua bidang pekerjaan dan dilatih tenaga profesional dengan modul latihan mengikut keperluan teknikal jenis jawatan kerja.

"Majikan yang mencarum atau tidak dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) juga layak memohon dan mereka dapat memohon imbuhan daripada levi HRDF atau Insentif Penjana RM600 hingga RM1,000 sebulan selama enam bulan untuk setiap pekerja diambil dan latihan dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, bagi majikan dan bakal pekerja yang berminat boleh mendaftar dengan melayari portal rasmi sosial Bispoint di www.mybispoint.com.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 6:08pm
d