PENGURUS U-Cafe, Rachel bersama Nadeera.

Pertama kali menjamu nasi lemak ayam berempah, di U-Cafe, penyanyi genit berasal dari Johor ini mengakui tertarik dengan aromanya enak.

Bekas peserta program realiti Mentor Legend, Nadeera Farah Zaini atau lebih dikenali dengan Nadeera berkata nasi lemak disajikan memiliki kriteria nasi lemak asli iaitu mempunyai rasa santan pekat.

Keunikannya pula terletak pada sajian keseluruhan apabila menggabungkan ayam berempah bersama ikan bilis serta sambal belacan.

“Menjadi luar kebiasaan apabila nasi lemak didatangkan bersama sambal belacan, tetapi ia sangat enak dimakan dan sesuai dengan citarasa Melayu.

“Selain itu, saya juga menyukai udang goreng telur masin kerana ia memiliki rasa dan tekstur tersendiri. Gaya masakan udang tidak menghilangkan rasanya, malah telur masin yang menyaluti makanan laut tidak terlalu masin.

“Bagi penggemar makanan Barat, saya mencadangkan ‘Spagetti Aglio Olio with King Prawn’ dan ‘Signature Combo Mixed Grilled,” katanya yang popular dengan single, Hasrat Hati.

Bakal mengeluarkan album menjelang Ogos depan, anak didik Zainal Abidin ini berkata ruang selesa di U-Cafe membolehkan pelanggan memiliki privasi tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 1:37 PM