BARISAN kerusi yang boleh diubah suai.
STERENG dan panel meter yang mudah dicapai.
PINTU gelungsur yang boleh terbuka secara automatik.
JERIJI depan yang besar cukup menonjol.

Mula memasuki pasaran Malaysia pada 2013 dengan pengenalan model import (CBU) dari Jepun, Serena S-Hybrid terus mendapat sam­butan dalam kalangan peminat kenderaan pelbagai guna (MPV) di negara ini. Tidak hairan model itu masih menjadi pilihan mereka yang berkeluarga besar sama ada untuk kegunaan harian mahupun hujung minggu.

Meskipun bentuk fizikal luarannya besar iaitu luar daripada kebiasaan namun melihat kepada fungsi dan praktikaliti memberi kelebihan kepada model ini berbanding MPV yang sebaris dengannya namun ciri paling terbaik ialah enjinnya digabungkan sistem hibrid kompak yang menjimatkan minyak.

Berikutan trend beralih kepada MPV semakin meningkat, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar dan pemasang kenderaan Nissan mengorak langkah melakukan pemasangan tempatan (CKD) model berkenaan dengan beberapa ciri baru dipertingkatkan daripada aspek luaran dan dalaman, menjadikannya lebih dinamik serta bergaya namun masih mengekalkan 14 konfigurasi tempat duduk yang unik.

Didatangkan dalam dua pilihan varian Premium Highway Star dan Highway Star, antara pengubahsuaian dilakukan adalah pemasangan jeriji depan krom tiga dimensi, lampu depan utama, lampu isyarat dan lampu belakang LED berbentuk ‘S’, bampar depan yang didatangkan dengan lampu kabus serta penggunaan rim aloi bersaiz 16 inci.

Varian Premium pula diberi sedikit penambahan seperti spoiler bumbung dan visor pintu bagi menonjolkan sisi sporty Nissan Serena S-Hybrid baru ini. Selain itu, varian ini dilengkapi penapis filem V-Kool Elite Security, Armorcoat dan Solar Gard.

Ketika memandu uji Serena S-Hybrid varian Premium Highway Star baru-baru ini, penampilan luarannya kelihatan lebih segar dengan padanan jeriji krom tiga dimensi yang lebih besar seakan-akan sebuah MPV mewah, malah perumah lampu depan LED yang kemas dan bamper rekaan terbaru dilengkapi lampu kabus menyerlahkan lagi ciri model itu.

Masih mengekalkan ciri pintu gelongsor berkuasa elektrik bagi kedua-dua sisi kenderaannya yang hanya perlu menyentuh pemegang pintunya, MPV itu tampak lebih tegap dengan menggunakan rim bersaiz 16 inci krom rekaan terbaru.

Selain itu, ia masih dibekalkan dengan enjin petrol 2.0 liter MR20DD empat silinder DOHC bersama transmisi XTRONIC CVT dengan Adaptive Shift Control (ASC) berupaya menghasilkan kuasa pada 147 ps dan tork maksimum 210Nm. Selain itu, pilihan butang ECO Mode turut dipadankan bagi meningkatkan lagi tahap penjimatan minyak.

Melihat ruang dalamannya, MPV ini dipasangkan dengan skrin paparan bersaiz 6.5 inci bersama sistem navigasi, kamera undur, pemain DVD, sambungan iPod, USB dan Bluetooth beserta panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung.

Berada di tempat duduk penumpang bagi MPV yang mampu memuatkan sehingga lapan orang ini sangat selesa kerana ruang kaki dan kepala memberi keselesaan maksimum untuk penumpang, terutama bagi perjalanan jauh, malah tempat duduknya boleh dilaraskan mengikut keselesaan penumpang.

Pergerakan keluar atau masuk penumpang baris ketiga juga tidak menimbulkan masalah kerana posisi kerusinya boleh digerakkan mengikut kemahuan, malah sistem pendingin hawa bagi penumpang belakang juga boleh dikawal secara manual menerusi panel yang dipadankan pada bahagian kanan bumbung.

Sebagai kenderaan keluarga, kombinasi hitam yang menyelubungi bahagian ruang kabin ini boleh dikatakan cara terbaik untuk menghindari kotoran makanan atau minuman. Rekaan papan pemukanya praktikal kerana ia menyediakan beberapa ruang tempat menyimpan barangan yang memudahkan penggunanya, termasuk meja makan kecil yang boleh dilipat di barisan kedua kerusi.

Kerusi baris ketiganya pula boleh dilipat bagi mendapatkan ruang bagasi lebih besar, malah ada ruang kargo di bawah lantai belakang yang mampu memuatkan sebuah ‘stroller’ bayi bersaiz kecil tanpa mengganggu ruang dalaman sedia ada.

Jika mahu memecut, jentera ini bukan dicipta untuk tujuan itu tetapi lebih kepada pengangkutan sebuah MPV dengan pemanduan bersahaja dan lebih kepada santai.

Ia memberi kelebihan jika dipandu di bandar sesak dengan kereta kerana MPV ini diibarat sebagai juara jimat minyak berikutan padanan sistem Berhenti Melahu akan mematikan enjinnya jika tidak bergerak dengan menekan breknya.

Enjin ini secara automatik dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila padel brek dilepaskan, sekali gus mampu memberi tahap penjimatan minyak sehingga mencapai jarak 15.2 kilometer bagi setiap seliter melalui kitaran ujian JC08 Jepun.

MPV itu didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu Diamond Black, Brilliant White, Tungsten Silver bersama dua pilihan warna baru Garnet Red dan Graphite Blue.

Yang pasti, Serena S-Hybrid ini yang turut menampilkan sistem kunci pintar dengan hanya menekan butang adalah pilihan terbaik bagi mereka yang tercari-cari sebuah MPV bersaiz besar yang menjimatkan minyak untuk pulang ke kampung bersama keluarga pada Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:02 AM