Antwerp: Tai Beng Hai menuntut fokus dan komitmen tinggi anak didiknya apabila turun menentang China pada aksi pembuka tirai kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Bagi jurulatih skuad negara itu, tiga mata diraih amat penting kerana sebarang keputusan termasuk seri akan menjejaskan peluang negara untuk layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Kita harus menang kerana perlawanan pertama amat penting. Jika dapat tiga mata kita akan lebih yakin dan bersemangat untuk perlawanan seterusnya.

“Jadi, saya mahu semua pemain memberikan tumpuan dan komitmen tinggi sepanjang perlawanan,” katanya ketika ditemui di Stadium KHC Dragons semalam.

Justeru, Beng Hai meletakkan sandaran di bahu penyerang Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, Izwan Firdaus Tajuddin, Firhan Ashari dan Shahril Saabah untuk menggegar gawang China.

Beng Hai turut menggesa pemain negara supaya mengambil kira persembahan Negara Tembok Besar itu yang semakin meningkat.

China yang berada di ranking ke-31 dunia muncul juara Pusingan 2 Liga Hoki Dunia di Afrika Selatan.

Pada aksi persahabatan sebelum ke Belgium, mereka juga menewaskan Perancis yang berada di kedudukan ke-18 dunia 3-2.

“China juga mempunyai beberapa pemain baru dalam skuad ini berbanding pasukan Sukan Asia Incheon. Jadi kita perlu berhati-hati kerana mereka berupaya membuat kejutan,” katanya.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama China, Ireland, Britain dan tuan rumah Belgium. Kumpulan A dianggotai Australia, India, Pakistan, Poland dan Perancis.

Tiga pasukan teratas akan layak secara automatik ke Rio tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:06 AM