KEMALANGAN lori dipercayai berlaki apabila tayar belakang pecah. FOTO ihsan pembaca
Oleh Nazdy Harun


Hulu Terengganu: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) sanggup membahayakan nyawa mengutip minuman kesihatan yang bertaburan di atas jalan berikutan lori yang membawa minuman itu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 385.1 laluan Ajil-Bukit Besi, dekat Kuala Berang, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohammad Azmi Awang Lah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori dipandu Baharum Ab Razak, 54, pecah menyebabkan kenderaan itu terbalik.

"Difahamkan, lori berkenaan datang dari arah Temerloh menghala Gong Badak, Kuala Terengganu.

"Setiba di tempat kejadian kira-kira 7 pagi, tayar belakang kiri kenderaan itu pecah lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri dan kemudian terbalik di atas jalan," katanya.

Menurutnya, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis yang tiba sempat mengarahkan orang ramai yang berkerumun supaya tidak mengambil air yang bertaburan di atas jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 11:15 PM