Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: U for Life Sdn Bhd (U for Life), syarikat pengendali platform insurans hayat atas talian pertama di negara ini yakin penyelesaian insurans menyeluruh yang ditawarkannya mampu membantu usaha kerajaan meningkatkan kadar penembusan insurans hayat kepada 75 peratus menjelang 2020 berbanding 56 peratus ketika ini.

Pengurus Besarnya, Iskandar Ezzahuddin berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada ciri penyelesaian insurans terbabit yang membolehkan pelanggan membeli insurans hayat secara lebih mudah, pantas dan murah.

“Sebelum ini, kebanyakan individu menganggap pembelian insurans hayat sebagai satu proses remeh dan membabitkan kos tinggi, sekali gus menjadi halangan untuk mendapatkan insurans hayat,” katanya di sini.

Beliau berkata, platform U for Life mengubah kembali cara pelanggan membeli insurans hayat di mana segala masalah membabitkan pembelian polisi dilakukan secara lebih mudah.

Menurutnya, platfom itu menyediakan maklumat mengenai insurans hayat melalui bahasa lebih ringkas dengan proses pembelian dan pemberian e-polisi boleh dilakukan dalam tempoh pantas iaitu 10 minit sahaja.

“Apa paling menarik, pelanggan hanya perlukan serendah RM9.85 sebulan untuk membeli polisi asas ini, sekali gus membolehkan mereka menikmati perlindungan sehingga RM100,000,” katanya.

Polisi yang ditawarkan U for Life disediakan oleh Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd iaitu ahli kepada Tokio Marine Holdings Inc, salah satu daripada kumpulan insurans terbesar di Jepun.

Ketika diminta mengulas mengenai sambutan terhadap U for Life, Iskandar berkata, platform itu mencatatkan kunjungan menggalakkan dan turut mencatatkan peningkatan kadar pembelian positif daripada hari ke hari meskipun baru dilancarkan pada Mei lalu.

Menurutnya, tumpuan syarikat kini lebih terarah untuk memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pembelian insurans hayat terutama melalui media cetak dan elektronik serta bengkel yang bakal diadakan daripada semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:38 AM