Primmer (tengah) bersama wakil penaja sempena pelancaran Larian Rock To Rock Run 2015.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Larian amal ‘Rock to Rock Run 2015’ menyasarkan kutipan dana RM50,000 untuk disumbangkan kepada 53 keluarga susah yang mendiami Rumah Kebajikan Seri Cahaya, Batu Maung.

Larian dianjurkan buat tahun keenam oleh Hotel Hard Rock Pulau Pinang (HRPP) itu akan diadakan pada 25 Oktober depan dan ia dijangka terus mendapat sambutan memberangsangkan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Pengurus Besar HRPP John Primmer berkata, larian amal tahun ini bakal disertai 2,000 peserta pelbagai bangsa serta umur dengan dua kategori dipertandingkan.

Beliau berkata, dua kategori berkenaan membabitkan ‘Fun Run’ sejauh 3.8 kilometer (km) serta larian pertandingan sejauh 10.2km yang bertemakan ‘Ambil Masa Untuk Membalas Budi’ (Take Time To Be Kind).

“Kami terharu serta bangga kerana sambutan daripada peserta semakin meningkat setiap tahun dan sudah tentu ia membantu kami mencari dana dan menyumbangkannya kepada Rumah Kebajikan Seri Cahaya kenyataan.

“Keprihatinan dan sikap murah hati peserta menyumbang amat dihargai untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya pada sidang media, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Chong Eng.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat menyertai larian amal itu boleh mendaftar mulai 23 Jun ini di penang.hardrockhotels.net dengan bayaran RM75 seorang dan penyertaan dihadkan kepada 2,000 peserta.

Beliau berkata, setiap penyertaan akan diberikan berupa baju-T, sijil penyertaan, medal, kipas kertas selain cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 7:32 AM