GAMBAR yang dirakam  minggu lalu  menunjukkan Gunung Bulusan memuntahkan debu dan asap.
GAMBAR yang dirakam minggu lalu menunjukkan Gunung Bulusan memuntahkan debu dan asap.

Manila: Penduduk di sekitar Gunung Bulusan mula menyimpan stok makanan sebagai langkah persediaan untuk berpindah selepas gunung berapi itu memuntahkan debu dan asap sebanyak enam kali dalam tempoh beberapa minggu lalu, kata pegawai semalam.

Jurucakap kerajaan, Herminio Coloma berkata, kerajaan juga memantau gunung berapi berkenaan yang terletak 390 kilometer ke tenggara Manila.

Letusan terbaru berlaku kelmarin selepas dua lagi letusan berlaku awal minggu lalu.

“Kerajaan terus memantau keadaan gunung Bulusan supaya kami boleh menjaga kebajikan 34,000 penduduk di 22 kampung dan lima bandar berhampiran,” katanya.

Institut pemantau gunung berapi Filipina berkata, ketika ini letusan berpunca daripada air bawah tanah yang bercampur dengan batu panas di dalam gunung setinggi 1,565 meter itu.

“Letusan ini memuntahkan debu dan asap ke udara. Debu dan asap ini melitupi lereng gunung dan bandar berhampiran,” kata seorang pegawai pemantau, Winchelle Ian Sevilla.

Katanya, penduduk yang berada di luar zon bahaya iaitu empat kilometer dari gunung Bulusan tidak perlu bimbang ditimpa batu yang dimuntahkan gunung berkenaan.

Pesawat juga diberi amaran supaya menjauhi gunung itu kerana bimbang ia tiba-tiba meletus.

Menurutnya, walaupun Bulusan itu semakin aktif, tetapi tiada tanda magma di dalam gunung berkenaan naik ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:59 AM