SISTEM peperiksaan dilalui pelajar tingkatan enam perlu diubah dengan mengikut sistem semester. - Gambar hiasan
PELAJAR lepasan SPM kini mempunyai banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran. - Gambar hiasan
TINGKATAN enam menyediakan suasana persekitaran pembelajaran untuk menjadikan pelajar lebih dewasa dan dibentuk selari keperluan pendidikan peringkat tinggi. - Gambar hiasan
SISTEM pembelajaran dan pengajaran yang digunakan di tingkatan enam perlu berbeza serta diasingkan daripada sekolah menengah biasa bagi menarik minat pelajar. - Gambar hiasan
TINGKATAN enam adalah platform terbaik untuk ke menara gading kerana pelajar lepasan STPM sudah melalui sistem pengajian setara universiti. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Sekian lama dihimpit dengan pelbagai persepsi, penjenamaan semula tingkatan enam yang bakal dilakukan secara berperingkat bakal memberi wajah baru kepada pemilihan program pengajian itu selepas tamat tingkatan lima.

Penjenamaan itu juga dijangka memberi impak berbeza kepada tingkatan enam yang selama ini dikatakan sebagai pilihan terakhir pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Tingkatan enam dikatakan lebih mudah membantu pelajar memperoleh tempat di universiti. Namun, disebabkan persepsi masyarakat, tingkatan enam makin terpinggir biarkan suatu ketika dulu ia menjadi jalan utama ke menara gading.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Amir Hasan Dawi berkata, masalah utama yang membelenggu tingkatan enam ialah ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat mengikuti program pengajian itu.

Menurutnya, ramai pelajar, masyarakat termasuk ibu bapa yang masih lagi dibelenggu tanggapan tingkatan enam susah, tidak mempunyai standard seperti institusi pengajian tinggi dan sebagainya menjadikan tingkatan enam semakin terpinggir.

“Akibat dimomokkan dengan persepsi yang salah, pelajar menjadi semakin kurang berminat melanjutkan pengajian ke tingkatan enam.

“Ini kerana mereka berasakan tingkatan enam sebagai kelas kedua dan lebih melihat kepada pilihan lain yang lebih mempunyai nama seperti matrikulasi, asasi, pusat kemahiran, institusi swasta atau awam.

“Tambahan pula, ibu bapa dan masyarakat juga berfikiran sama menyebabkan tingkatan enam semakin terpinggir, sedangkan program pengajian itu sebenarnya menawarkan pelbagai keistimewaan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang memilih memasuki tingkatan enam mendapati program pengajian itu mampu membentuk mereka menjadi lebih dewasa dan mempunyai pemikiran kreatif, selain bersedia memasuki institusi pengajian tinggi selepas memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Ini kerana cara pembelajaran dan pengajaran tingkatan enam tidak sama dengan sekolah menengah kerana program pengajian ini tarafnya sudah sama seperti prauniversiti.

“Hanya persepsi yang melihat tingkatan enam seperti sekolah menengah, sedangkan ia tidak serupa sama sekali.

“Bukan saja modul dan sukatan pelajarannya berbeza, malah cara pengajaran serta pembelajarannya lebih tinggi kerana pelajar tingkatan enam perlu dibentuk selari dengan kehendak program pendidikan tinggi,” katanya.

Pemilihan tingkatan enam juga, katanya, pasti tidak membebankan ibu bapa kerana ia lebih murah berbanding memasuki institusi pengajian swasta.

“Tingkatan enam sebenarnya pilihan ideal kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi ataupun mencari pekerjaan.

“Tapi disebabkan persepsi, fungsi tingkatan enam sebagai pemudah cara pelajar merancang masa depan tidak dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Tingkatan Enam sebagai usaha penjenamaan semula bagi meningkatkan lagi imej, sistem dan kualiti pendidikan supaya setanding sistem prauniversiti lain.

Lima fokus utama diberi perhatian iaitu imej dan anjakan minda, infra dan info struktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kurikulum.

Ia selaras bagi memastikan pelajar tingkatan enam dapat mengembangkan bakat serta kreativiti mereka untuk menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal yang membawa kesejahteraan kepada negara.

Beliau berkata, berpandukan data 2008, bilangan calon yang menduduki SPM adalah 442,936 dan daripada jumlah itu 12.2 peratus mendapat tempat di tingkatan enam, 9.16 peratus di politeknik, 2.07 peratus di kolej komuniti dan 4.02 peratus di matrikulasi KPM.

Menurutnya, daripada perangkaan itu, 72.53 peratus lepasan SPM tidak dapat dikesan sama ada melanjutkan pengajian ke institusi swasta, agensi kerajaan lain, ke luar negara ataupun tidak meneruskan pengajian.

“Data ini jelas menunjukkan bilangan pelajar ke tingkatan enam rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan lepasan SPM 2008.

“Walaupun bilangan lepasan pelajar SPM 2008 besar dan meningkat setiap tahun, mereka yang mahu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam sangat kurang,” katanya.

Mengikut kajian dilakukan pada 2011 oleh UPSI, antara faktor mengapa tingkatan enam kurang mendapat perhatian ialah tiada galakan keluarga, suasana tingkatan enam yang masih seperti sekolah, faktor guru tidak menggalakkan, tanggapan orang luar, tiada kebebasan dan gaya hidup tidak sama seperti di kolej mempengaruhi pemilihan pelajar.

Melalui kajian itu, cadangan penambahbaikan turut dicadangkan termasuk membuat perbandingan dan contoh dengan negara luar, mewujudkan institusi pusat tingkatan enam, menyelaraskan minda termasuk guru mengenai tingkatan enam, kaedah pembelajaran mengikut sistem universititi, menukar pada sistem semester dan mengubah cara penampilan berpakaian.

“Dalam konteks ini, pembaharuan dibuat tepat pada masanya bagi membantu mengubah persepsi yang sudah lama membelenggu tingkatan enam ini.

“Tingkatan enam perlu melalui anjakan perubahan, selain pelajar dan masyarakat juga perlu mengubah minda dengan melihatnya sebagai peluang terbaik menyambung pelajaran.

“Pelajar dulu sudah membuktikan mereka berjaya melalui tingkatan enam. Justeru, melalui penambahbaikan ini diharap mengembalikan semula kegemilangan tingkatan enam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 12:06 PM