Antara mangsa yang ditemui. FOTO Rasul Azli Samad
Antara mangsa yang ditemui. FOTO Rasul Azli Samad
Oleh Nur Saliawati Salberidan dan Nor Shafinaz Sari


Alor Gajah: Tiga pekerja binaan maut dan enam cedera dengan tiga daripadanya parah dalam kejadian satu daripada tingkat bangunan pasar raya dalam pembinaan di Pulau Sebang, di sini, runtuh, 2.15 petang tadi.

Mangsa yang maut adalah warga Myanmar, manakala yang parah dan cedera juga warga Myanmar.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ketika kejadian, semua sembilan pekerja binaan itu sedang melakukan kerja mengeluarkan penahan konkrit.

 ”Runtuhan dipercayai berpunca daripada lantai di tingkat dua bangunan yang tidak kukuh selepas penahan konkrit dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang parah dan cedera dihantar ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan, untuk dirawat.

 Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Nazili Mahmood berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.16 petang, tujuh jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Merlimau, BBP Tangga Batu, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin ke tempat kejadian.

 Katanya, Unit Anjing Pengesan turut digunakan dan berjaya mengesan dua mangsa di bawah runtuhan konkrit itu.

“Mayat pertama dan kedua dikeluarkan sebelum jam 6 petang dan mayat terakhir ditemui dan dikeluarkan jam 7.15 petang. Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 10:22 PM
Digital NSTP Subscribe