Telefon bimbit dan fon telinga diambil polis untuk siasatan lanjut.

Serian: Seorang pelajar lelaki maut selepas disambar petir ketika mendengar lagu menggunakan fon telinga yang disambungkan ke telefon bimbit dalam kejadian di rumahnya di Kampung Murud, di sini, kelmarin.

Bartholomew Robert, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taiee, di sini, dilaporkan disambar petir ketika berada di ruang tamu rumahnya, jam 6.30 petang.

Sumber berkata, sebelum itu, mangsa dipercayai menggunakan fon telinga untuk mendengar lagu melalui telefon bimbit.

"Ketika kejadian, cuaca buruk dengan kilat serta hujan, sebelum menyambar peranti digunakan mangsa. Ini menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.

"Kejadian berlaku di hadapan ibu bapa serta ahli keluarga mangsa yang bergegas membawanya ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:27 AM