FUNG menyampaikan sumbangan ke rumah berkenaan kepada Aini.
FUNG menyampaikan sumbangan ke rumah berkenaan kepada Aini.
KAKITANGAN Tokio Marine Life bergambar bersama penghuni rumah berkenaan.
KAKITANGAN Tokio Marine Life bergambar bersama penghuni rumah berkenaan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd baru-baru ini membawa keceriaan ke rumah anak yatim, Rumah Anak Kesayangan Kota Kinabalu dengan membantu mengemaskan rumah yang dihuni mereka, terletak di Taman Sempelang dan menempatkan 30 anak yatim serta kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Sepasukan 15 kakitangan Tokio Marine Life dari cawangan Kota Kinabalu dan ibu pejabat di Kuala Lumpur melawat rumah dan mengecat ruang tamu serta ruang makan.

Selain mengecat rumah, syarikat itu turut menyumbangkan dua komputer peribadi, tilam, kipas dan rak buku untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni.

Kakitangan Tokio Marine Life turut meluangkan masa berbual dengan anak yatim yang ingin tahu dan teruja dengan aktiviti mengecat serta pemasangan komputer di ruang tamu khas untuk kanak-kanak lelaki dan juga kanak-kanak perempuan.

Ketua Komunikasi Korporat Tokio Marine Life, Wilson Tang berkata, apa yang dilakukan kakitangannya adalah sebahagian daripada komitmen syarikat ke arah menyokong projek komuniti.

Katanya, ia mencerminkan budaya korporat Tokio Marine sebagai sebuah syarikat yang memenuhi tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat. Turut terbabit dalam aktiviti itu, Ketua Pegawai Bertugas Tokio Marine Life cawangan Kota Kinabalu, Fung Shieo Yee.

“Sumbangan korporat Tokio Marine Life bukan saja membabitkan kewangan, tetapi bagi menjadikan sumbangan kami ini lebih bermakna, kami sentiasa mengambil usaha tambahan untuk mengetahui apa yang benar-benar diperlukan,” katanya.

Sementara itu, usaha berkenaan jelas mengharukan penyelia dana bagi Rumah Anak Kesayangan Kota Kinabalu, Aini Amin yang mengucapkan kesyukuran dan terima kasih terhadap sumbangan yang dihulurkan.

“Kami menghargai usaha yang mereka lakukan untuk membantu rumah kami. Komputer akan menjadi pengalaman pembelajaran baru bagi anak-anak ini kerana ia membantu mereka celik IT apabila bergerak ke peringkat yang seterusnya dalam hidup mereka.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 11:17 AM
Digital NSTP Subscribe