RUMAH yang terbakar pagi tadi. FOTO ihsan Bomba

GEORGETOWN: Dua beradik nekad meredah api yang mula merebak ke rumah mereka bagi menyelamatkan nenek mereka yang lumpuh dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Ara, di sini, hari ini.

Hassan Al Hafiz Samsuri, 22, berkata, ketika kejadian neneknya Aminah Abdullah, 94, berada dalam bilik di kediaman dua tingkat itu manakala dia dan adiknya Ahmad Musthofa, 21, menonton televisyen di ruang tamu.

"Kami dengar bunyi letupan di rumah sebelah dan bila kami keluar untuk melihat, kami nampak api sedang marak di rumah sebelah dan merebak ke rumah kami.

"Kami terus ke bilik dan mendukung nenek keluar dari rumah... api ketika itu sudah merebak dengan pantas dan dalam sekelip mata memusnahkan rumah kami," katanya.

Kebakaran pada 11.20 pagi itu memusnahkan tiga buah rumah dua tingkat separa papan dan batu yang terletak bersebelahan.

Hassan Al Hafiz berkata, kebakaran itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan semua wang dan kelengkapan untuk beliau menyambung pelajaran di Kolej Insaniah di Kuala Kertil, akhir bulan ini turut musnah.

"Segala pakaian, buku dan wang yang saya simpan hangus terbakar, yang tinggal hanyalah baju dan seluar yang saya pakai sekarang," katanya yang tinggal di rumah itu bersama ibu bapa, nenek dan tiga adik beradiknya.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Nazri Mustafa berkata, tiga jentera bersama 20 pegawai dan anggota dari balai Bayan Baru dan Jalan Perak mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.

"Ketika kami sampai, api sedang marak di ketiga-tiga rumah itu," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 5:40 PM