Putrajaya: Mahkamah Rayuan, hari ini, memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memulangkan lapan cakera padat (CD) mengandungi kalimah Allah milik wanita Kristian, Jill Ireland Lawerence Bill.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas menolak rayuan KDN secara sebulat suara.

Mahkamah turut mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada wanita dari suku kaum Melanau dari Sarawak itu yang dirampas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, pada 11 Mei 2008.

Justeru, KDN diarah memulangkan CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ and ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’,dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan hari ini.

Tengku Maimun membaca secara ringkas penghakiman 32 muka surat yang ditulis oleh ahli panel, Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang turut disertai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam.

Bagaimanapun, panel itu memerintahkan bahawa pengisytiharan yang dipohon oleh wanita itu mengenai penggunaan kalimah Allah didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Tengku Maimun berkata surat bertarikh 7 Julai 2008 yang ditandatangani oleh Pegawai Kanan Kastam, Suzanah Muin untuk merampas CD milik Jill itu adalah tidak baik dalam undang-undang dan adalah ‘ultra vires’ Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, Suzanah bukan orang yang dibayangkan oleh Parlimen sebagai orang kompeten yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah rampasan.

Dalam penghakiman yang diperoleh oleh media, menyatakan mahkamah memutuskan surat Suzanah tidak menyatakan bahawa beliau diarah oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar, untuk merampas CD itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata beliau akan meminta arahan daripada Peguam Negara sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Sementara itu, peguam Jill, Lim Heng Seng, menyifatkan keputusan tersebut adalah baik untuk memulangkan CD itu selepas lapan tahun sambil berkata ia sudah pasti berita baik untuk rakyat Sarawak. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:11 PM