TAN menunjukkan produk keluaran Tolly Joy.
TAN menunjukkan produk keluaran Tolly Joy.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Tolly Joy Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk penjagaan dan keperluan bayi jenama Tolly Joy optimis mengekalkan prestasi positif tahun ini meskipun keadaan ekonomi mencabar pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Wee Keng berkata, syarikat yakin mampu mencapai hasrat terbabit berdasarkan prestasi semasa dalam 10 tahun lalu apabila ia mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan dua digit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berharap mampu mencapai prestasi terbaik dengan sekurang-kurangnya peningkatan lima peratus tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu dan jika dicapai, ia dilihat memadai dan terbaik pada masa ini berdasarkan perkembangan semasa,” katanya.

Tolly Joy adalah jenama berpangkalan di Singapura dan mula menerokai pasaran negara sejak dua dekad lalu dan kini antara tiga jenama terbaik bagi produk penjagaan dan keperluan bayi di pasaran Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya perlu fokus kepada pembangunan produk kerana pengguna pada masa kini dilihat lebih berhati-hati dalam perbelanjaan harian dan hanya mengeluarkan wang kepada produk yang menawarkan nilai kepada mereka.

“Kami sentiasa memastikan produk Tolly Joy memenuhi standard dengan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan melaksanakan pengujian produk bagi memastikan setiap produk memenuhi undang-undang ditetapkan di setiap pasaran kami,” katanya.

Jenama produk keperluan bagi bayi berumur sehingga 24 bulan itu kini sudah memiliki 250 jenis produk dan jenama itu sudah menerokai pasaran Malaysia, Indonesia, Brunei, India, Myanmar serta paling baru adalah di China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 6:26 AM