TIADA negara yang bebas dari pengganas siber.
AKTIVITI online tidak selamat.
EKSPLOITASI kelemahan manusia ketika bersosial.
DR Zahri Yunos.
Oleh Afiq Hanif


Internet, sama ada ia menjadi kemudahan atau mengganggu kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat pelbagai maklumat, tetapi pada masa sama, ia mengundang pelbagai anasir yang cuba mengeksploitasi kelemahan manusia.

Pencerobohan siber pula boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti pengintipan, pencerobohan, peperangan dan pengganas siber.

Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia (CSM), Dr Zahri Yunos berkata, pertumbuhan pesat dunia siber menjadikannya sukar untuk dikawal.

“Oleh kerana mereka boleh kekal secara ‘online’ tanpa nama, individu merasakan mereka boleh melakukan, memperkatakan atau menyiarkan apa saja yang mereka mahu dan persekitaran sedemikian menyebabkan pemikiran bahawa ada masalah dalam dunia siber,” katanya.

Menurutnya, serangan ke atas laman web atau blog biasanya dilakukan untuk suka-suka, tetapi akhir-akhir ini, apa yang membimbangkan apabila dunia siber sedang digunakan untuk merekrut individu menyertai kegiatan berbahaya seperti militan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama [email protected].

Oleh itu, wujud pula penggunaan perkataan pengganas siber yang diklasifikasikan sebagai satu siri serangan dianjurkan pada prasarana berkomputer untuk menakut-nakutkan kerajaan atau melumpuhkan rangkaian sistem yang boleh menjejaskan imej, ekonomi serta keselamatan negara.

“Keganasan siber bertujuan membangkitkan ketakutan dan serangan yang serius boleh menyebabkan keganasan terhadap sesiapa atau simbol negara,” kata Zahri.

Selain itu, Zahri berkata, keperluan untuk mendefinisikan jenayah siber perlu bagi mengelakkan individu terlepas daripada jenayah yang berat.

Beliau berkata, disebabkan ruang siber tidak mempunyai sempadan yang ‘benar’, ia mudah bagi pengganas menggunakannya sebagai alat yang berkuasa untuk melancarkan serangan.

“Kemajuan teknologi sama yang memberi manfaat kepada orang ramai kini menjadi senjata lawan,” katanya.

Beliau berkata, keganasan siber tidak patut dikelirukan dengan jenayah siber.

“Ia mengandungi unsur utama seperti serangan yang bermotifkan politik, serangan dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kecederaan fizikal dan serangan terhadap prasarana maklumat kritikal seperti kewangan, tenaga, pengangkutan serta operasi kerajaan,” katanya.

Zahri berkata, serangan palsu seperti mengganggu perkhidmatan tidak dianggap tindakan jenayah siber.

Beliau berkata, terdapat andaian bahawa serangan siber pada sistem komputer kurang berbahaya, namun ia tidak benar.

“Serangan seperti ini termasuk yang membabitkan sistem kawalan kereta api dan lalu lintas udara boleh melumpuhkan bekalan elektrik dan air serta mengubah maklumat perbankan secara besar-besaran,” katanya.

Zahri memberi contoh kejadian di Australia apabila pekerja yang tidak berpuas hati mempunyai akses kepada sistem kawalan pembetungan menyebabkan berjuta-juta liter kumbahan air melimpah ke taman dan sungai.

“Ia menyebabkan kerosakan alam sekitar dan bau busuk yang tidak tertanggung selama beberapa minggu,” katanya.

Menurutnya, ia tindakan sendiri apabila individu terbabit dipasang dengan sistem pengurusan sisa berkomputer.

Malaysia, katanya, tidak kebal kepada serangan itu. Paling baru, serangan ke atas laman web Malaysia Airlines pada awal tahun ini oleh kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Cyber Caliph.

Laman utama digantikan dengan gambar Airbus A380 syarikat penerbangan itu dengan perkataan “404 - Plane Not Found.”

“Pada 2011, 51 laman web kerajaan diserang kumpulan penggodam Anonymous yang menyebabkan gangguan kepada sistem setiap hari dan ramai tidak dapat mengakses laman web kerajaan,” katanya.

Kata Zahri, serangan seperti ini membangkitkan penggera keselamatan siber dan keperluan untuk menjadi lebih berhati-hati apabila serangan siber datang.

“Sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran umum dan pengetahuan konseptual pada jenayah siber, CSM bersama Universiti Teknikal Malaysia menghasilkan buku yang bertajuk ‘Jenayah Siber: Dasar & Perspektif Teknikal,” katanya.

Menurutnya, buku terbabit terdiri daripada lima bab yang menyelidiki aspek melindungi maklumat terhadap penjenayah siber,” kata Zahri.

Beliau berharap pembaca akan mendapatkan maklumat yang berguna daripada buku terbabit dan membuat cadangan kepada organisasi yang mempunyai sistem kritikal untuk mengambil lang­kah berjaga-jaga menangani serangan siber.

Sementara itu, Prof Rabiah Ahmad dari Universiti Teknikal Malaysia yang turut terbabit dalam penghasilkan buku itu memaklumkan, buku berkenaan mejadi siri kompilasi penyelidikan berkaitan keganasan siber.

“Ia penyelidikan yang dijalankan dari sudut polisi dan teknologi yang memberi impak dalam usaha menangani isu dan permasalahan keganasan di alam siber,” katanya.

Menurutnya, buku terbabit memberi pendedahan kepada keganasan dunia siber selain menceritakan pengalaman sebenar CSM menjejaki media siber yang terbabit dalam keganasan siber.

“Ia turut menghuraikan kaedah pengesanan pencerobohan rangkaian Internet yang mengakibatkan penggodam berkeupayaan untuk menghancurkan sistem penting yang digunakan dalam melindungi prasarana kritikal negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:31 AM