BARISAN pelakon filem The Fifth Wave bersama pengarah J Blakeson (dua dari kiri).
The Walk arahan pengarah terkenal Robert Zemeckis menampilkan Joseph-Gordon Levitt (kiri), Charlotte Le Bon (tengah) dan pelakon legenda Sir Ben Kingsley.
Oleh Riadz Radzi


Jika bukan kerana arahan membuat liputan edisi keenam Summer Of Sony Pictures Entertainment 2015, baru-baru ini, penulis tidak pernah terfikir untuk sampai ke Cancun, Mexico.

Maklumlah, untuk menjejakkan kaki ke bandar pesisiran pantai menghadap Laut Carribean di Timur Mexico itu, kita perlu merentas tiga benua dengan penerbangan lebih 30 jam dari Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, ia perjalanan memenatkan dan Cancun bukanlah lokasi percutian relevan untuk rakyat Malaysia dan Asia Tenggara kerana kedudukannya yang terlalu jauh.

Namun, program Summer Of Sony Pictures Entertainment yang menghimpunkan barisan pelakon dan pengarah handalan Hollywood bagi mempromosikan filem terbaru mereka itu lebih membuatkan penulis teruja berbanding tarikan hamparan pantai dengan laut membiru.

Sejak edisi pertama, Cancun menjadi lokasi tetap program anjuran Sony Pictures Entertainment yang berlangsung selama seminggu itu.

Bagi edisi keenam kali ini, ia membabitkan 13 filem yang bakal ditayangkan mulai Ogos tahun ini hingga Oktober tahun depan.

Antaranya Pixels yang akan ditayangkan mulai 13 Ogos, Ricky & The Flash (3 September), Hotel Transylvania 2 (24 September), Goosebumps (14 Oktober), James Bond: Spectre (6 November), The Walk (19 November), Get Smurfy ( 10 Disember) dan Concussion (31 Disember).

Selain itu, filem yang bakal ditayangkan tahun depan seperti The Fifth Wave pada 14 Januari, Grimsby (25 Februari), Angry Birds (19 Mei), Ghostbusters (21 Julai) dan Inferno (13 Oktober).

Kehadiran bintang filem terkenal seperti Adam Sandler, Kevin James, Peter Dinklage, Michelle Monaghan, Josh Gad, Jason Sudeikis, Selena Gomez (filem Pixels, Hotel Transylvania 2 dan Angry Birds), Joseph Gordon-Levitt, Sir Ben Kingsley, Charlotte Le Bon (The Walk), Liev Schreiber, Chloe Grace Moretz, Nick Robinson, Alex Roe (The Fifth Wave), Jack Black, Odeya Rush, Dylan Minnette, Ryan Lee (Goosebumps), Rick Springfield, Mamie Gummer (Ricki and the Flash) dan Sacha Baron Cohen (Grimsby) sudah cukup mengangkat prestij majlis berkenaan.

Jack Black yang hadir mempromosikan filem Goosebumps memeriahkan sesi sidang media dengan aksi lawak selambanya.

Sebagaimana watak dalam filem terdahulunya seperti High Fidelity dan School Of Rock, begitulah dia tampil ketika sidang media berkenaan.

Ada ketika gelagatnya membuatkan orang tidak kering gusi selain turut ‘menjengkelkan’!

Bercerita mengenai filem komedi seram itu, Black berkata, dia seronok melakonkan watak RL Stine dalam filem berkenaan kerana ia berbeza berbanding wataknya sebelum ini.

“Walaupun ia menampilkan banyak watak seram, Goosebumps sesuai ditonton bersama keluarga.

“Saya seronok dan ketawa apabila menonton filem ini. Ia sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Ditanya mengenai filem seram kegemarannya, Black berkata, dia kagum dengan The Shining arahan Stanley Kubrick pada 1980.

“Saya suka sesuatu yang menakutkan. Ketika kanak-kanak, saya rasa bangga jika menonton filem seram kerana akan dilihat sebagai seorang yang berani,” katanya.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pengarah dan penerbit filem terkenal Chris Columbus (Pixels), Rob Letterman (Goosebumps), J Blakeson (The Fifth Wave), Genndy Tartakovsky (Hotel Transylvania 2), Kelly Asbury (Get Smurfy) dan Neal H Moritz (penerbit Goosebumps).

Selain itu, lebih 100 wartawan media cetak, elektronik dan portal Internet turut berpeluang menemu bual pelakon dan pengarah handalan lain menerusi skype seperti Daniel Craig, Ralph Fiennes, Christoph Waltz, Naomie Harris dan pengarah Sam Mendes bagi filem terbaru James Bond iaitu Spectre.

Ini termasuk pengarah filem Money Monsters, Jodie Foster; pengarah dan pelakon filem Inferno, Tom Hanks dan Ron Howard serta pengarah handalan Robert Zemeckis yang mengarah filem The Walk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:46 AM