mutakhir

Jangan jadikan Malaysia tempat pelupusan pekerja asing [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

KEMENTERIAN Sumber Manusia sedang merangka tindakan untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan 'tempat pelupusan' pekerja asing yang dianiaya majikan masing-masing terutama ketika negara berdepan kelembapan ekonomi ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata pihaknya dalam perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mewujudkan sistem pengajian untuk pekerjaan asing melalui e-wages bagi memastikan setiap pekerja asing yang digajikan itu dibayar gaji dan upah yang dijanjikan majikan.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat banyak kes majikan dikesan tidak memberi gaji dan upah kepada pekerja asing.

"Kita tidak mahu negara ini jadi 'dumping ground' pekerja asing.

"Melalui sistem ini sekiranya majikan gagal membayar gaji kita boleh mendapat maklumat daripada sistem itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kelulusan Pengiktirafan Pusat Pengajar Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, di Putrajaya, hari ini.

Saravanan berkata, dalam pertemuannya dengan wakil dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia hari ini, beliau turut menyatakan pendirian Malaysia yang tidak akan mengambil pekerja asing sehingga kerajaan menyelaraskan semua pekerja asing sedia ada, kecuali membabitkan sektor tertentu seperti pelombongan dan pembantu rumah.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan dan kementerian itu sedar kelembapan ekonomi ketika ini memberi kesan terhadap mereka termasuk kehilangan pekerjaan.

Katanya, perkara lain yang dimaklumkan kepada perwakilan terbabit membabitkan perlindungan yang akan diberikan kepada pekerja asing, selaras dengan undang-undang antarabangsa, selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

"Kementerian Sumber Manusia mencadangkan semua pekerja asing mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Kerajaan juga akan menguatkuasakan Akta 446 untuk memastikan majikan membekalkan perumahan penginapan dan kebajikan pekerja dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun RM50,000 bagi setiap kes, bermula 1 September ini," katanya.

Beliau berkata, selain mengadakan perbincangan dengan wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, pihaknya akan juga mengadakan pertemuan dengan perwakilan negara lain.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 7:02pm
d